JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Saman Fitnah Najib, Tommy Thomas Selesai Cara Baik - Muhammad Shafee

19/01/2026 04:48 PM

SHAH ALAM, 19 (Bernama) -- Kes saman fitnah Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd berkaitan pembunuhan wanita Mongolia yang diterbitkan dalam buku berjudul My Story: Justice in the Wilderness, diselesaikan secara baik.

Penyelesaian kes saman itu direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Khadijah Idris di sini hari ini.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili bekas Perdana Menteri itu, memaklumkan media bahawa kedua-dua pihak telah mencapai satu keputusan bersama dan ia sepatutnya menamatkan semua khabar angin terhadap anak guamnya.

Beliau berkata Thomas mengakui bahawa sejak penerbitan buku tersebut pada 2021, bekas Peguam Negara itu tidak menyedari kewujudan sebarang bukti yang mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

“Anda boleh anggap ini satu kemenangan kerana tiada sebarang bukti seperti yang diakui oleh pihak defendan… jadi, ini sepatutnya menamatkan semua khabar angin, segala cakap-cakap tidak berasas dan cakap-cakap di kedai kopi berkenaan Datuk Seri Najib,” katanya.

--BERNAMA

Muhammad Shafee berkata Thomas juga kekal dengan kenyataan dan pendapat beliau dalam bab 42 buku berkenaan iaitu akuan berkanun bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar adalah selari antara satu dengan yang lain.

Beliau berkata menurut Thomas, sekiranya buku itu dicetak atau diterbitkan semula, kenyataan di atas hendaklah dinyatakan pada muka surat yang sama dengan penerbitan kenyataan yang dipertikai (pada muka surat 404 hingga 405).

“Dalam keadaan ini, Thomas tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap penarikan balik tindakan sivil di atas terhadap beliau dan pihak penerbit tanpa sebarang perintah mengenai kos,” kata peguam itu sambil menambah bahawa GB Gerakbudaya turut menerima sepenuhnya pandangan Thomas. 

Muhammad Shafee juga berkata anak guamnya amat gembira dan bersyukur kerana selepas bertahun-tahun berdepan tekanan akibat ketiadaan keterangan langsung serta khabar angin palsu yang mengaitkan beliau dengan kes pembunuhan itu, perkara tersebut akhirnya dapat dinoktahkan melalui satu penyelesaian.

Pada 11 Okt 2024, Najib memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pernah mengarahkan Azilah dan Sirul Azhar untuk membunuh Altantuya pada 2006 kerana beliau tidak pernah bertemu dengan wanita itu.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan saman berkenaan pada 2021 dan menamakan Thomas serta GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd sebagai defendan.

Menerusi pernyataan tuntutannya, Najib, 72, mendakwa Thomas telah mengarang dan menyebabkan penerbitan buku itu yang mengaitkan beliau dengan pembunuhan Altantuya.

Beliau mendakwa buku itu diterbitkan oleh GB Gerakbudaya dan diedarkan di Malaysia pada hujung Januari 2021, seterusnya secara meluas di pasaran antarabangsa.

Najib mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau telah mengarahkan Azilah dan Sirul Azhar membunuh Altantuya serta telah mengelirukan rakyat mengenai insiden tersebut bagi menutup kesalahannya.

Beliau mendakwa reputasinya terjejas akibat penerbitan fitnah itu dan menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk serta ganti rugi teladan daripada defendan selain perintah agar kedua-duanya mengeluarkan kenyataan yang dipertikai daripada buku terbabit.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan