JOHOR BAHRU, 20 Jan (Bernama) -- Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 Bersama Siswa Peringkat Politeknik melabuhkan tirainya di Johor Darul Ta’zim hari ini dengan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Pasir Gudang menjadi lokasi terakhir penganjuran.
Majlis penutup program itu dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, dengan kehadiran lebih 500 pelajar serta pensyarah daripada politeknik dan kolej komuniti.
Program berkenaan merupakan inisiatif berterusan bagi memperkasakan literasi media dan kefahaman digital dalam kalangan pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), sejajar dengan komitmen kerajaan membina daya tahan digital serta memupuk pemikiran kritis generasi muda.
Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Azirin Abdul Aziz dan Ketua Pengarang Bernama merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Arul Rajoo Durar Raj.
Hadir sama Timbalan Pengarah Akademik PIS yang menjalankan tugas Pengarah PIS Tengku Nadzion Tengku Ibrahim serta Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2026 Mohd Shukri Ishak.
Program anjuran Bernama selaku Sekretariat HAWANA dengan kerjasama PIS dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu merupakan kesinambungan kepada pelancaran Jelajah HAWANA 2025 yang diadakan di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 14 Ogos tahun lepas.
Bernama bertindak sebagai agensi pelaksana bagi pihak Kementerian Komunikasi, dengan pengisian program merangkumi sesi perkongsian Mobile Journalism (MoJo) dan Semakan Fakta oleh Bernama serta ceramah Kempen Internet Selamat oleh MCMC.
Sesi MoJo disampaikan oleh Pegawai Berita Meja Digital Media Bernama K. Vishpani dan Penyunting Visual Meja Digital Media Bernama Nursyafiqah Izzati Haspawari, manakala sesi Semakan Fakta dikendalikan Ketua Meja MyCheck Malaysia Fatin Najmi Mohammad Shah.
Sementara itu, sesi Kempen Internet Selamat yang bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan siber serta memupuk penggunaan internet secara beretika disampaikan oleh Penolong Pengarah MCMC Johor Ezwan Harris Abu Nashrah.
Pada majlis itu, Nur-ul Afida turut menyampaikan sumbangan berupa televisyen pintar kepada enam institusi melibatkan politeknik, kolej komuniti dan kolej kemahiran, iaitu PIS, Politeknik Mersing Johor, Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, Politeknik METrO Johor Bahru, Kolej Komuniti Segamat dan Kolej Kemahiran Johor.
Program Jelajah HAWANA Bersama Siswa merupakan kesinambungan kejayaan edisi 2024 yang mencatat penyertaan kira-kira 2,000 pelajar dan pensyarah daripada 16 universiti awam, dengan sebanyak 17 sumbangan disalurkan kepada institusi terpilih.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial