AM

BM, Sejarah SPM Diwajibkan Untuk Sekolah Antarabangsa, Agama Dan UEC - Anwar

20/01/2026 06:35 PM

PUTRAJAYA, 20 Jan (Bernama) -- Semua sekolah di negara ini termasuk di sekolah antarabangsa, sekolah agama serta sekolah aliran Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), diwajibkan menawarkan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah sebagai mata pelajaran untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ketetapan baharu itu akan menyelaraskan semua sistem pendidikan negara di bawah kerangka yang sama, sekali gus menamatkan kekeliruan dan polemik berkaitan kesetaraan laluan akademik ke pendidikan tinggi.

“Keadaan sudah berubah...majoriti besar pelajar aliran UEC dan sekolah antarabangsa mengambil SPM tetapi dalam aturan sekarang, (subjek) Bahasa Melayu dan Sejarah diwajibkan bagi sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat dan semua sekolah aliran Cina atau UEC.

“Maka dengan kaedah ini, jalur mereka ke pendidikan tinggi tidak lagi sepatutnya menjadi kontroversi,” katanya pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di sini, hari ini.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Anwar berkata sekolah agama rakyat dan maahad tahfiz yang kian berkembang dengan jumlah pelajar melebihi 400,000 orang, tidak terkecuali daripada ketetapan kerajaan berkenaan.

“Mereka boleh kekalkan manhaj tarbiah dan kitab-kitab masing-masing...kita tidak akan usik. Tetapi sebagai syarat menerima bantuan kerajaan, mereka juga diwajibkan mengambil Bahasa Melayu dan Sejarah,” katanya.

Sambil berkongsi titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengenai kedudukan bahasa Melayu ketika merasmikan sidang Parlimen semalam, Anwar berkata kerajaan juga mahu memastikan bahasa kebangsaan itu terus dimartabatkan sebagai bahasa ilmu dan lingua franca negara.

“Negara telah menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, maka penguasaannya bukan sekadar menguasai, tetapi perlu ditingkatkan...kurikulum di sekolah dan universiti harus diperkasakan seiring tuntutan masa,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menekankan bahawa penguasaan bahasa Inggeris mesti ditingkatkan agar subjek itu tidak diajar secara sambil lewa, memandangkan Malaysia merupakan negara perdagangan yang bergantung kepada interaksi global.

“Bahasa Inggeris harus diberi lebih keutamaan sebagai bahasa kedua. Standard dan mutu pengajaran mesti ditingkatkan,” katanya.

Anwar berkata penguasaan bahasa Inggeris penting dalam transformasi digital, peralihan tenaga, kecerdasan buatan (AI) dan bidang ilmu berkaitan masa depan.

Anwar turut mengarahkan Kementerian Pendidikan supaya menyediakan guru yang mencukupi bagi semua bahasa utama iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris serta bahasa pilihan seperti Mandarin, Tamil dan Arab agar keperluan pelajar di semua sekolah kebangsaan dipenuhi dengan baik.

“Jadi pilihan bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Arab mesti ada di sekolah-sekolah bagi anak-anak yang memilih untuk menguasai bidang-bidang itu.

“Kita harap dapat selesaikan kontroversi bahasa tidak berkesudahan. Saya dibesarkan tahun 50-60-an.. perseteruan soal bahasa dan konflik bahasa itu hangat. Tahun 2026 dengan dasar ini, insya-Allah kita tamatkan polemik bahasa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan