KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Kecederaan berkaitan sukan dalam kalangan individu yang digelar ‘weekend warriors’, iaitu mereka yang bersukan secara serius tetapi kurang latihan asas menunjukkan peningkatan yang ketara.
Terutamanya, sempena tahun baharu apabila ramai rakyat malaysia kembali aktif di padang dan gim untuk kekal sihat.
Pakar Bedah Ortopedik, Kecederaan Sukan dan Artroskopi Dr Mohd Nizlan Mohd Nasir berkata semakin banyak kes koyakan bahu, kerosakan meniskus dan keradangan tendon, terutamanya daripada sukan yang melibatkan lompatan, putaran atau gerakan mengayun tangan ke atas secara berulang.
"Turut berlaku kes kecederaan koyakan ligamen ACL, kecederaan tulang rawan serta tendon Achilles yang putus, terutamanya dalam sukan seperti badminton, futsal dan pickleball," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Pakar Perubatan Sukan SMC Sunway City Dr Jasmiza Khuzairi Jasme berkata kebanyakan kecederaan ini disebabkan perubahan dalam tahap aktiviti dan risiko ini sangat tinggi bagi mereka yang terus bersukan pada tahap intensiti tinggi tanpa persediaan mencukupi.
Dr Nizlan menambah kesakitan otot selepas bersenam adalah perkara biasa, tetapi jika berterusan atau disertai simptom seperti sendi longgar, pergerakan tersangkut, atau kebas, itu mungkin bukan sekadar lenguh biasa, sebaliknya tanda kecederaan serius.
"Kecederaan ringan seperti terseliuh dan lebam lazimnya pulih dalam masa dua minggu, namun sekiranya simptom berterusan atau sendi terasa tidak stabil ia menandakan kecederaan yang serius," katanya.
Beliau berkata kecederaan bukan hanya berlaku kepada yang lebih berusia atau kurang cergas, tetapi golongan “weekend warriors” lebih berisiko kerana otot mereka tidak dilatih dan kebanyakannya juga tidak melakukan pemanasan badan sebelum membuat aktiviti.
Dr Jasmiza berkata kesakitan yang menjejaskan aktiviti harian atau mengganggu tidur adalah petanda perlu mendapatkan pemeriksaan lanjut.
"Gejala seperti sendi tersangkut, terasa longgar atau kebas merupakan amaran awal yang memerlukan perhatian perubatan bagi memastikan keselamatan pesakit dan supaya rawatan dapat diberikan tepat pada masanya,” katanya.
Beliau berkata gaya hidup memainkan peranan yang lebih besar berbanding apa yang disangka.
“Duduk terlalu lama boleh memendekkan otot pinggul dan melemahkan otot punggung, sekali gus menjejaskan postur serta keseimbangan badan.
"Corak pergerakan yang tidak betul dan ketidakseimbangan otot juga boleh mengundang kecederaan,” katanya.
Pemanasan badan adalah perlu, selama 10 hingga 15 minit dengan pergerakan dinamik sebelum bermain, bukan hanya regangan statik, dan jika terasa sesuatu tidak kena sila dapatkan rawatan sewajarnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial