EKONOMI

Keselamatan Data Digital, Fizikal Perlu Disepadu Kurangkan Risiko Pelanggaran Data — ManageEngine

23/01/2026 11:19 AM

Daripada Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

CHENNAI, 23 Jan (Bernama) -- Syarikat perlu mengintegrasikan data keselamatan digital dan fizikal seperti sistem biometrik ke dalam satu platform pemantauan berpusat bagi mengurangkan risiko pelanggaran data, kata penyedia perisian pengurusan teknologi maklumat (IT), ManageEngine.

Pengerusi Keamanan IT ManageEngine Subhalakshmi Ganapathy berkata banyak syarikat sudah  melabur dalam alat dan perkhidmatan keselamatan siber termasuk platform analitik, alat pengurusan dan operasi keselamatan yang penyumberan luarnya melalui vendor pihak ketiga.

Namun begitu, beliau berkata apa yang kekal sepenuhnya di bawah kawalan sesebuah organisasi ialah data miliknya sendiri serta cara data berkenaan diurus dan dipantau.

Subhalakshmi menjelaskan apabila sesebuah syarikat memasang sistem baharu seperti tembok api (firewall), sistem tersebut secara automatik akan berada di bawah skop pemantauan dan operasi keselamatan.

“Tetapi apabila sistem biometrik dipasang, dinaik taraf atau apabila cara orang mengakses kemudahan secara fizikal berubah, perkara-perkara ini sering kali tidak disepadukan ke dalam sistem pemantauan keselamatan,” katanya.

“Sehubungan itu, menggabungkan data keselamatan digital dan fizikal ke dalam sistem menjadi semakin kritikal,” katanya dalam sesi soal jawab pada ManageEngine Day 2026 di sini.

Baru-baru ini, Kaspersky melaporkan Malaysia terus menyaksikan peningkatan penggunaan teknologi biometrik merentasi sektor-sektor utama termasuk perkhidmatan awam, institusi kewangan, pengangkutan, penjagaan kesihatan dan kemudahan tenaga.

Namun, syarikat keselamatan siber dan privasi digital global itu menyatakan Asia Tenggara masih kekal sebagai wilayah berisiko tinggi untuk serangan siber yang melibatkan sistem biometrik dengan kadar pendedahan yang ketara iaitu 23.7 peratus merentasi pelbagai vektor ancaman.

Selain itu, Subhalakshmi berkata syarikat-syarikat secara beransur-ansur meningkatkan kesedaran keselamatan melalui inisiatif latihan serta memperluaskan prosedur operasi standard di pusat operasi keselamatan bagi menggabungkan lebih banyak sumber data.

Beliau berkata, ia bukan sekadar tentang mengamalkan teknologi baharu tetapi tentang sejauh mana teknologi tersebut disepadukan dengan sistem pemantauan keselamatan siber organisasi.

“Apabila data keselamatan digital dan fizikal disepadukan ke dalam sistem pemantauan, ia boleh mengurangkan secara ketara risiko pelanggaran dalam persekitaran kedua-duanya,” katanya.

ManageEngine merupakan bahagian IT Zoho Corporation iaitu syarikat teknologi multinasional yang membantu perniagaan digital di seluruh dunia meningkatkan kecekapan, ketahanan dan pematuhan merentasi tenaga kerja, tempat kerja dan beban kerja masing-masing.

Portfolio syarikat ini menawarkan lebih daripada 60 produk dan alat termasuk pengurusan identiti dan akses, pengurusan perkhidmatan perusahaan, pengurusan dan keselamatan titik akhir bersepadu, pengurusan operasi IT serta maklumat keselamatan.

ManageEngine Day 2026 diadakan selama empat hari dari 19 hingga 22 Jan, 2026 di ibu pejabat ManageEngine di Chennai, India bagi memberikan gambaran keseluruhan syarikat kepada pihak media.

Program itu disertai oleh 23 wartawan dari Timur Tengah dan negara-negara ASEAN.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan