KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Kemasukan awal kanak-kanak ke tahun satu pada usia enam tahun (5+) bermula sesi 2027 adalah langkah tepat pada masanya kerana Generasi Alpha dilihat terdedah kepada rangsangan kognitif lebih awal berbanding sebelum ini.
Seorang warga pendidik Fathizaki Rifin, 33, berpandangan dasar itu memberi hak kepada murid yang cepat matang untuk tidak terikat dengan umur biologi semata-mata sebaliknya dinilai berdasarkan tahap kesediaan mental dan intelek sebenar mereka.
“Kemasukan awal ini dilihat selari dengan pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 yang lebih fleksibel dan berorientasikan kompetensi.
“Ini bukan bermakna kita 'memendekkan' zaman kanak-kanak mereka, tetapi kita menyusun laluan pendidikan supaya murid yang bersedia boleh menamatkan persekolahan lebih awal iaitu pada usia 16 tahun sekali gus meningkatkan daya saing modal insan negara di peringkat global pada usia lebih muda,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata kebaikan utama dasar itu ialah ia bersifat pilihan dan bukan wajib dengan kelebihannya ialah ibu bapa diberikan autonomi, namun perlu bersandarkan kepada ujian diagnostik yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).
“Nasihat saya kepada ibu bapa, gunakan peluang ini jika anak benar-benar bersedia dari segi emosi dan kemahiran sosial, bukan sekadar pandai membaca. Guru bersedia menerima mereka, tetapi kesiapsiagaan murid adalah penentu utama kejayaan dasar ini,” katanya.
Dalam pada itu, ibu bapa turut menyatakan pandangan positif berkaitan kemasukan kanak-kanak lebih awal ke sesi persekolahan.
Bagi Nur Natasha Aida Ismail, 38, kemasukan kanak-kanak ke sekolah lebih awal membolehkan intervensi lebih awal bagi menentukan kebolehan anak dikenal pasti melalui ujian diagnostik.
“Memang perlu melakukan ujian diagnostik bagi mengelak berlakunya lambakan anak tahun satu yang berusia enam tahun dalam satu kelas pada satu masa.
“Bagaimanapun ia dapat mengasuh anak untuk menyesuaikan diri dengan suasana persekolahan sebenar yang sememangnya akan dilalui oleh mereka,” katanya.
Turut senada, Mohd Salorwadi Mohd Nor, 50, berkata dia percaya kanak-kanak mampu mengikuti pembelajaran tahun satu di sekolah pada seawal umur enam tahun.
“Sebagai bapa, saya sendiri mempunyai anak yang masih belajar di tahun satu dan ada yang tahun lima sekarang. Saya rasa memang wajar kerana tahap pendidikan kita sudah maju.
“Saya tidak rasa anak-anak tidak boleh ikut (kemasukan awal), sebagai contoh anak saya yang berada di tahun satu tidak berasa takut untuk ke sekolah malah rapat dengan guru. Saya juga tidak perlu menunggu anak di sekolah kerana sudah membiasakan anak dengan menghantarnya ke taska sejak awal lagi.
“Dari situ mereka sudah biasa dengan persekitaran sekolah, jadi bagi saya ia adalah wajar dengan sistem pendidikan kini yang maju,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Hamdan Ab Hamid berkata kemasukan awal kanak-kanak berusia enam tahun ke tahun satu bagi sesi 2027 dilihat sebagai langkah positif dalam mengiktiraf kepelbagaian tahap kognitif murid.
Beliau berkata kebanyakan kanak-kanak pada masa ini mempunyai kematangan intelek dan emosi yang melampaui usia kronologi serta dapat terus dicabar menerusi sukatan pelajaran yang lebih dinamik.
“Dari perspektif guru, inisiatif ini bukan sahaja mengelakkan keciciran minat terhadap pembelajaran akibat pengulangan sukatan pelajaran prasekolah, malah membantu proses pengurusan bakat di peringkat akar umbi dengan melahirkan murid yang lebih berdaya saing, berkeyakinan tinggi serta mampu menamatkan kitaran persekolahan setahun lebih awal tanpa menjejaskan kualiti akademik mereka,” katanya.
Pada Selasa lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 mengumumkan bermula 2027, kanak-kanak yang berusia enam tahun boleh mengikuti pembelajaran tahun satu namun ia tidak wajib dan bergantung kepada ibu bapa.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan berkata kemasukan awal kanak-kanak berusia enam tahun ke tahun satu akan dilaksanakan secara fleksibel, bukan bersifat wajib dan hanya melibatkan ibu bapa serta murid yang telah bersedia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial