KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Produk niaga hadapan baharu Bursa Malaysia Bhd, Mini FTSE Bursa Malaysia KLCI Futures (FKLM) akan membantu meluaskan akses pelabur dan menyediakan kos yang lebih berpatutan ke dalam pasaran derivatif Malaysia.
Bursa Malaysia berkata produk itu akan dilancarkan pada 26 Januari, 2026, merupakan versi bersaiz lebih kecil daripada FTSE Bursa Malaysia KLCI Futures (FKLI), menjejaki FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), indeks penanda aras utama negara yang terdiri daripada 30 syarikat tersenarai Bursa Malaysia terbesar mengikut permodalan pasaran.
“Setiap kontrak FKLM bernilai RM10 setiap mata indeks berbanding RM50 setiap mata indeks untuk FKLI, menjadikan FKLM satu perlima saiz kontrak FKLI standard.
“Saiz kontrak yang lebih kecil ini mengurangkan keperluan modal pendahuluan, menjadikan niaga hadapan indeks lebih mudah diakses oleh pelabur runcit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bursa Malaysia berkata bahawa dengan FKLM, pelabur boleh mendapat pendedahan leveraj kepada FBM KLCI, menyediakan cara alternatif untuk menyertai pasaran yang meningkat dan juga menurun, pada masa sama menggunakan modal dengan lebih cekap.
“Saiz kontrak yang lebih kecil juga membolehkan lebih banyak fleksibiliti dalam mengubah suai kedudukan dan boleh digunakan sebagai alat lindung nilai, membantu pelabur mengurus turun naik pasaran jangka pendek tanpa mencairkan pegangan jangka panjang mereka,” katanya.
Sama seperti FKLI, FKLM akan tersedia untuk diniagakan semasa sesi dagangan pagi dan petang (8.45 pagi hingga 5.15 petang waktu Malaysia, Isnin hingga Jumaat) dan sesi dagangan selepas waktu bekerja (T+1) (9.00 malam hingga 2.30 pagi waktu Malaysia, Isnin hingga Khamis).
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed berkata pelancaran FKLM menandakan satu lagi langkah ke hadapan dalam memperluas akses kepada perdagangan derivatif, menjadikan penyertaan lebih inklusif untuk pelabur berpengalaman dan orang awam yang lebih luas.
“Dengan meluaskan akses pasaran, kami memperkukuh kecairan dan menyokong pertumbuhan pasaran modal Malaysia yang mampan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial