AM

Pulau Pinang Sasar Pasang 5,000 CCTV Di Seluruh Negeri Menjelang Oktober

24/01/2026 04:49 PM

BUKIT MERTAJAM, 24 Jan (Bernama) -- Pulau Pinang menyasarkan pemasangan 5,000 unit kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh negeri termasuk 1,000 unit di Seberang Perai menjelang Oktober ini bagi menjaga keselamatan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pendekatan itu selaras dengan penggunaan teknologi pintar seperti Internet benda (IoT), data raya dan kecerdasan buatan (AI) bagi mewujudkan persekitaran bandar yang lebih selamat dan responsif.

"Pemasangan CCTV juga bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan pihak berkuasa tempatan seiring dengan perubahan teknologi maya dan sebagaimana ditekankan, teknologi dan digitalisasi perlu diterjemahkan kepada peningkatan kecekapan perkhidmatan awam, ketelusan tadbir urus dan kesejahteraan rakyat,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Seberang Perai ASPIRE Centre (SPACE) dan Program Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Santuni Komuniti di sini hari ini.

Perasmian itu dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Datuk Bandar Seberang Perai Datuk Baderul Amin Abdul Hamid serta barisan exco kerajaan negeri.

Beliau berkata seiring hasrat itu, penubuhan SPACE sebagai pusat operasi bersepadu MBSP bakal memperkukuh pengurusan bandar pintar melalui integrasi data, sistem aduan pintar, pemantauan trafik, keselamatan awam serta pengurusan perkhidmatan bandar secara masa nyata, sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada seluruh masyarakat.

Sementara itu, Baderul Amin berkata SPACE ditubuhkan sebagai pusat operasi  bersepadu MBSP yang menyokong pengurusan bandar pintar dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta berfungsi sebagai platform utama penyelarasan operasi bandar secara sistematik dan berasaskan teknologi terkini.

Beliau berkata usaha itu telah bermula pada 2014 melalui penubuhan Bilik Kawalan CCTV MBSP yang bertujuan memperkukuh keselamatan awam, pemantauan bandar dan kecekapan perkhidmatan selain seiring pertumbuhan pesat pembangunan dan kepadatan penduduk di Seberang Perai.

"Inisiatif ini juga selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk memperluas pemasangan CCTV dengan MBSP telah mengenal pasti kawasan hotspot dan menaik taraf sistem sedia ada menggunakan teknologi pintar termasuk AI.

"Melalui SPACE, pengurusan data bandar dapat dilaksanakan secara bersepadu dalam satu pusat kawalan dan ia menyokong pemantauan serta penguatkuasaan seperti pelanggaran tempat letak kereta, pembuangan sampah haram serta kawalan pergerakan kenderaan berat, di samping menyumbang kepada pengukuhan keselamatan awam melalui pemantauan masa nyata," katanya.

Beliau berkata SPACE turut menyediakan sokongan maklumat kepada agensi keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia, sekali gus meningkatkan keberkesanan pencegahan dan penguatkuasaan jenayah.

Dari segi teknologi dan infrastruktur, beliau berkata SPACE menggunakan rangkaian gentian optik sebagai tulang belakang sistem dan dilengkapi teknologi pengecaman nombor plat automatik (ANPR) atau pengecaman plat lesen (LPR) bagi memantau pergerakan kenderaan dan setakat ini, 11 kawasan hotspot telah dikenal pasti serta dipantau di bawah sistem kawalan bandar MBSP.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan