KUANTAN, 25 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menyasarkan lantikan 30,000 penjawat awam tahun ini berbanding 25,000 lantikan pada 2025.
Pengerusi SPA Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata sasaran itu selari dengan keperluan penggantian pegawai bersara dan usaha berterusan kerajaan memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.
Beliau berkata meskipun permohonan bagi perkhidmatan awam mencatatkan penurunan kira-kira 200,000 pada tahun lepas berbanding 2024, Ahmad Jailani optimis jumlah itu kembali meningkat pada 2026 dan 2027.
“Jumlah permohonan kepada SPA merekodkan sekitar 1.2 juta pada 2024 manakala tahun lepas menurun kepada satu juta. Namun, kami menjangkakan jumlah itu dapat dikekalkan semula pada paras lebih satu juta pada tahun ini,” katanya.
Ahmad Jailani berkata demikian kepada pemberita pada program Kembara Kerjaya MADANI SPA Kuantan hari ini.
Beliau berkata penurunan permohonan bagi perkhidmatan awam itu disebabkan pelaksanaan syarat kelayakan baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang menetapkan kelayakan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“(Syarat) SPM ke atas mengurangkan bilangan permohonan bagi mereka yang hanya memiliki Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau kurang daripadanya,” katanya.
Mengenai Kembara Kerjaya MADANI SPA Kuantan, beliau berkata program itu diadakan di Pahang buat kali pertama dan sebahagian daripada usaha berterusan SPA mendekati golongan belia serta pencari kerja.
“Program ini diwujudkan bagi memastikan belia mendapat pendedahan dan maklumat tepat mengenai peluang kerjaya dalam perkhidmatan awam pada peringkat persekutuan mahupun negeri,” katanya.
Ahmad Jailani berkata program turut melibatkan temu duga terbuka bagi kategori Orang Kurang Upaya (OKU), Orang Asli dan jawatan jururawat dengan kehadiran hari ini dijangka mencecah 1,500 peserta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial