POLITIK

PKR Adakan Kongres Nasonal Di Melaka Pada 25–28 Jun

25/01/2026 08:51 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan diadakan selama empat hari di Melaka dari 25 hingga 28 Jun ini.

Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dibuat oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam mesyuarat bulanan yang berlangsung hari ini.

“Maklumat terperinci akan dikeluarkan Ibu Pejabat KEADILAN dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata MPP turut memutuskan pelantikan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Mohammed Taufiq Johari, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Ex Officio Biro Politik PKR.

Sementara itu, Datuk Jamawi Ja’afar, ⁠Datuk Ruji Ubi, Datuk Yamani Hafez Musa pula dilantik menjadi Ex Officio MPP PKR.

Fahmi berkata MPP turut meneliti pelaksanaan ikhtiar terbaharu Kerajaan MADANI, termasuk Rancangan Pendidikan Negara yang merupakan usaha menyeluruh bagi menjamin mutu pendidikan yang lebih baik serta mempersiapkan generasi muda menghadapi dunia digital yang makin mencabar.

Beliau berkata program bantuan rakyat seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Jualan Rahmah dan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) juga dilihat boleh ditambah baik bagi memastikan isu kos sara hidup rakyat dapat ditangani dengan tuntas.

“Langkah-langkah membanteras rasuah dan kumpulan kartel turut disokong, agar dana rakyat tidak diseleweng untuk memperkaya kelompok tertentu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan