KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 21 akaun bank termasuk 14 akaun perbankan milik beberapa individu dianggar bernilai RM700,000 dipercayai terlibat dalam mengesyor dan melantik syarikat kroni seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menurut sumber, Bahagian Perisikan SPRM menerusi 'Op Layar' turut menyita dua hotel milik pegawai kanan terbabit yang dianggarkan bernilai RM2 juta.
Pada masa sama, SPRM turut membuat semakan ke atas beberapa syarikat dengan Jabatan Akauntan Negara bagi mengenal pasti sekiranya terdapat tender atau sebut harga oleh syarikat-syarikat berkenaan.
“SPRM juga sedang mengesan aset-aset lain yang dimiliki oleh suspek serta pemilik-pemilik syarikat yang bersekongkol dengan suspek,” kata sumber itu.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Beliau memaklumkan bahawa sehingga hari ini, tujuh individu yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, SPRM menahan seorang pengarah syarikat dan seorang pegawai kanan TLDM kerana disyaki terbabit rasuah bagi mengesyor dan melantik syarikat kroninya mendapatkan kerja sebut harga di tempat pegawai kanan berkenaan bertugas.
Kedua-dua suspek yang dipercayai bersubahat melakukan perbuatan itu sejak 2017 sehingga 2020, direman selama tujuh hari sehingga 29 Jan ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak, pada Jumaat lepas.
Siasatan awal turut mendapati suspek yang juga pegawai kanan TLDM disyaki memiliki harta melebihi jumlah emolumen yang diterima seperti pemilikan kira-kira lapan aset tidak alih terdiri daripada tiga rumah, tiga rumah kedai dan dua hotel yang didaftarkan atas nama beliau
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial