SUKAN

APG Edisi Ke-13 Melabuhkan Tirai, Jumpa Di Malaysia Pada 2027

26/01/2026 10:48 PM

NAKHON RATCHASIMA, 26 Jan (Bernama) -- Sukan Para ASEAN (APG) Thailand 2025 menutup tirai secara rasmi malam ini dalam suasana penuh simbolik dan penghargaan kepada setiap indvidu yang menjayakannya, sebelum obor temasya diserahkan kepada Malaysia selaku tuan rumah edisi 2027.

Upacara berlangsung dengan kehadiran atlet para dan kontinjen yang mengambil bahagian, dimulakan dengan persembahan muzik daripada tuan rumah bagi meraikan perjuangan serta ketabahan mereka sepanjang temasya berlangsung.

Ia diteruskan dengan upacara menaikkan bendera Thailand dan persembahan yang mengimbau sejarah penganjuran APG yang kembali dianjurkan di Nakhon Ratchasima selepas 18 tahun.

Perarakan bendera negara dan atlet berlangsung mengikut turutan Brunei, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Timor-Leste, Vietnam dan Thailand selaku tuan rumah melambangkan semangat perpaduan dan persahabatan serantau yang menjadi teras temasya ini.

Majlis kemudian menayangkan video perjalanan APG ke-13 yang merakam pelbagai detik manis pencapaian membanggakan atlet para selain menonjolkan peranan temasya berkenaan dalam memperkukuh pembangunan serta keterangkuman sukan para di rantau Asia Tenggara.

-Seterusnya ucapan oleh Gabenor Pihak Berkuasa Sukan Thailand diikuti ucapan penutup oleh Presiden Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) serta Pengerusi Jawatankuasa Penganjur APG Ke-13.

Peralihan penganjuran temasya kemudian dimeterai menerusi upacara penyerahan tuan rumah daripada Thailand kepada Malaysia termasuk menaikkan Jalur Gemilang sebagai isyarat rasmi bermulanya perjalanan menuju APG 2027.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Thailand atas penganjuran yang disifatkan cemerlang dan penuh makna selain menyatakan komitmen Malaysia untuk meneruskan legasi temasya berprestij itu.

Majlis diakhiri dengan persembahan khas oleh Malaysia diikuti perarakan keluar atlet sebelum tirai ditutup dengan persembahan penutup bertajuk “E-san Jofyul” serta pertunjukan bunga api yang menerangi ruang udara stadium. 

Malaysia menamatkan kempen APG 2025 dengan kutipan 64 pingat emas, 64 perak dan 73 gangsa (201 pingat) untuk berada di tangga ketiga keseluruhan, sekali gus membaiki kedudukan berbanding tempat keempat pada edisi Kemboja 2023.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan