ALOR GAJAH, 26 Jan (Bernama) -- Sebanyak 10 wanita dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Melaka dilantik sebagai Duta Etnik bagi mempromosi Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) secara lebih meluas.
Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Melaka Suszma Khairitszi Mamat, berkata Duta Etnik berperanan sebagai pengantara untuk memupuk kesedaran wanita dalam masyarakat itu mengenai kepentingan saringan kanser serviks dan kanser payudara.
“Mereka akan menerima latihan dan maklumat lengkap berkaitan pelaksanaan kempen serta kepentingan pemeriksaan awal.
“Pelantikan ini penting kerana setiap etnik mempunyai budaya, bahasa dan kepercayaan berbeza, dan duta terbabit mampu menyampaikan mesej dengan berkesan,” katanya kepada pemberita di sini.
Suszma Khairitszi berkata pelantikan Duta Etnik akan diperluaskan kepada masyarakat India, Portugis, Chetti dan Baba Nyonya secara berperingkat, dengan sasaran keseluruhan 50 duta dilantik merentasi lima etnik.
Beliau berkata inisiatif itu selaras dengan tema Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2026, iaitu “Pemerkasaan Komuniti Melalui Duta Etnik”, bagi memudahkan penyampaian maklumat secara lebih tepat.
Suszma Khairitszi berkata berdasarkan rekod LPPKN, sebanyak 10,632 wanita menjalani ujian mamogram dari 2019 hingga tahun lepas, dengan 78 didapati positif kanser payudara.
Dalam tempoh sama, 4,003 wanita di Melaka menjalani saringan HPV DNA dan 211 didapati positif HPV.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial