KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini disambut mesra oleh Presiden Rusia Vladimir Putin di Muzium Hermitage, St Petersburg dalam satu pertemuan yang mencerminkan penghormatan tinggi Rusia terhadap hubungan persahabatan kedua-dua negara.
Menurut catatan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, keberangkatan Seri Paduka Baginda ke muzium berprestij dunia itu turut menyerlahkan peranan Institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu diplomasi negara khususnya dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Rusia.
Ditubuhkan pada 1755, Muzium Hermitage adalah antara muzium seni dan kebudayaan terbesar serta tertua di dunia, menempatkan lebih tiga juta karya seni selain artifak bernilai tinggi.
“Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa dengan diiringi Presiden Putin meninjau sebahagian koleksi bersejarah dan karya seni bertaraf dunia yang dipamerkan di muzium berkenaan.
“Lawatan khas julung kali Seri Paduka Baginda ke Saint Petersburg adalah atas jemputan khas Presiden Putin sekali gus melambangkan peranan penting Institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu diplomasi negara,” menurut perkongsian itu.
Pada Ogos tahun lepas, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Moscow bagi mengadakan Lawatan Negara sekali gus melakar sejarah sebagai Ketua Negara Malaysia pertama berkunjung secara rasmi ke Persekutuan Rusia sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1967.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengadakan lawatan ke Kazan, Republik Tatarstan pada tahun lepas sebagai sebahagian usaha memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial