AM

Peluasan Kerjasama Pensijilan Halal Antara Fokus Program MAIPs Ke Wilayah Andaman

26/01/2026 08:57 PM

KRABI, 26 Jan (Bernama) -- Peluasan kerjasama dalam bidang pensijilan halal melibatkan institusi agama di Perlis dan Majlis Agama Islam (MAI) Enam Wilayah Andaman menjadi antara fokus Program Ziarah Mahabbah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke Wilayah Andaman 2026 di sini, yang memasuki edisi ke-11.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah perbincangan mengenai peluasan kerjasama itu berlangsung semasa Majlis Sembah Mengadap Tahunan oleh Ketua atau Wakil MAI Enam Wilayah Andaman yang merangkumi Krabi, Ranong, Phuket, Phang Nga, Trang dan Satun.

Raja Muda Perlis yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah MAIPs menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) diberikan kuasa peluasan akreditasi ISO/IEC 17065 bagi Pensijilan Halal Malaysia. 

"Perkembangan ini membuka ruang kepada Perlis untuk membantu Wilayah Andaman dalam mendapatkan pengiktirafan Halal Malaysia," titah baginda semasa berkenan berangkat ke majlis tersebut.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut bertitah terdapat ruang luas untuk jalinan kerjasama pelbagai bidang antara MAIPs dan MAI Enam Wilayah Andaman itu.

"Termasuk dalam bidang pendidikan Islam, pembangunan institusi masjid dan surau, kebajikan ummah, pengurusan zakat dan wakaf, latihan kepimpinan Islam, pertukaran kepakaran serta perkongsian amalan terbaik dalam pentadbiran hal ehwal Islam,” titah baginda.

Turut berkenaan menyertai Program Ziarah Mahabbah, yang bermula 23 Jan lepas, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan