Oleh Zufazlin Baharuddin
PETALING JAYA, 26 Jan (Bernama) -- AWC Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) strategik dengan TwinMatrix Technologies Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura untuk meningkatkan inovasi digital bagi seluruh operasi kemudahan dan infrastrukturnya.
Ketua Pegawai Operasi Bahagian Kemudahan AWC, Abd Aziz Awang Adek berkata kerjasama itu akan meneroka inisiatif transformasi digital terpilih untuk memodenkan operasi menggunakan sistem dipacu data dan kecerdasan buatan (AI).
“Kami sedang menerima guna teknologi baharu dan memerlukan rakan kerjasama yang dinamik untuk mempertingkatkan tawaran kami, menambah baik kecekapan operasi serta memberikan nilai yang lebih besar kepada pelanggan.
“Kami yakin TwinMatrix berkedudukan baik untuk membawa nilai yang bermakna kepada pelanggan kami,” katanya kepada Bernama selepas majlis pemeteraian MoU dengan TwinMatrix di pejabat AWC di Subang Jaya, di sini hari ini.
TwinMatrix diwakili oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Eric Liu.
TwinMatrix menumpukan kepada penyelesaian kembar digital berasaskan ruang dan kecerdasan buatan ruang yang mengintegrasikan data geospatial, Internet Benda (IoT) dan data masa nyata bagi menyokong pemantauan serta pembuatan keputusan dalam persekitaran binaan yang kompleks.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Presiden AWC, Datuk Ahmad Kabeer Mohamed Nagoor berkata kerjasama itu menggabungkan kepakaran operasi AWC dengan keupayaan kembar digital dan AI ruang TwinMatrix bagi meningkatkan keterlihatan aset, penyelenggaraan dan pengoptimuman tenaga.
Beliau berkata TwinMatrix akan bertindak sebagai rakan kerjasama teknologi dengan menyediakan input nasihat, keupayaan platform serta sokongan teknikal bagi inisiatif rintis, dengan pelaksanaan dijalankan mengikut fasa.
AWC menjelaskan MoU itu berkuat kuasa hari ini dan sah selama 12 bulan.
Syarikat itu menambah MoU tersebut dijangka tidak menjejaskan pendapatan sesaham, aset bersih sesaham atau kadar hutang bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial