AM

KKM Pantau Rapi, Sah Maklumat Dengan Saluran Rasmi Situasi Virus Nipah Di India

27/01/2026 02:38 PM

PUTRAJAYA, 27 Jan (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa berkomunikasi dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pihak berkuasa antarabangsa berkaitan dalam mengesahkan laporan di media sosial berhubung jangkitan virus Nipah yang dilaporkan di India. 

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan situasi itu dipantau rapi melalui saluran rasmi termasuk dengan penglibatan WHO serta komunikasi dua hala dengan pihak berkaitan bagi memastikan maklumat tepat dan terkini diperoleh. 

“Sebarang langkah kesihatan awam seterusnya akan diputuskan berdasarkan maklumat yang disahkan dan penilaian risiko yang teliti selaras dengan dasar negara serta prosedur telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu. 

Dalam pada itu, KKM memaklumkan kesiapsiagaan di pintu masuk negara termasuk lapangan terbang antarabangsa, pelabuhan laut dan sempadan darat kekal dilakukan mengikut protokol ditetapkan. 

Ini termasuk pemantauan kesihatan dan saringan pelancong berasaskan risiko, laluan rujukan kepada pengembara yang mempunyai gejala atau disyaki sakit dan kesediaan pasukan perubatan kecemasan yang selaras dengan garis panduan penyakit berjangkit sedia ada. 

“KKM menegaskan bahawa langkah kawalan kesihatan sempadan sentiasa dilaksanakan dan akan ditingkatkan secara berkadaran berdasarkan penilaian risiko dan kemas kini epidemiologi rasmi,” menurut kenyataan itu. 

Menurut WHO, penyakit Nipah ialah jangkitan zoonotik disebabkan virus Nipah yang boleh disebarkan kepada manusia daripada haiwan melalui sentuhan langsung, makanan tercemar atau secara langsung dari manusia ke manusia. 

Penyakit itu antara lain boleh menyebabkan demam, sakit kepala, batuk, sakit tekak dan kesukaran bernafas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan