PASIR MAS, 1 Feb (Bernama) -- Corak jualan bahan api yang tidak seimbang di beberapa stesen minyak berhampiran sempadan Malaysia-Thailand mencetuskan kebimbangan kemungkinan berlakunya penyelewengan petrol dan diesel ke luar negara.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam berkata sebanyak sembilan stesen minyak dikenal pasti merekodkan jualan yang jauh lebih tinggi berbanding kawasan lain.
Beliau berkata angka itu bagaimanapun menunjukkan penurunan ketara selepas pegawai penguat kuasa ditempatkan secara statik, sekali gus memberikan petunjuk awal wujudnya aktiviti tidak normal dalam rantaian bekalan bahan api bersubsidi.
Pemantauan itu dilaksanakan di empat daerah bersempadan dengan Thailand, iaitu Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Jeli.
"Hasil penempatan pegawai statik KPDN di stesen-stesen berkenaan mendapati jualan petrol dan diesel menurun sebaik pemantauan dijalankan berbanding sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Rantau Panjang, di sini hari ini.
Azman berkata perubahan ketara pada jumlah jualan selepas pegawai ditempatkan memberi isyarat awal yang perlu diteliti dengan lebih mendalam.
Ketika ini, KPDN sedang menilai sama ada jualan berkenaan benar-benar mencerminkan keperluan penduduk setempat atau dipengaruhi faktor lain.
Beliau berkata siasatan lanjut turut melibatkan penelitian terhadap profil penduduk, aktiviti ekonomi setempat serta corak pergerakan kenderaan di kawasan sempadan bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil berasaskan data dan penilaian menyeluruh.
Setakat ini, KPDN belum mempertimbangkan sebarang langkah mengehadkan bekalan petrol dan diesel di stesen minyak terlibat, sebaliknya memberikan tumpuan kepada pemantauan berterusan dan pengumpulan maklumat.
“Pendekatan berperingkat akan diambil bagi memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara berhemah tanpa menjejaskan keperluan sah pengguna tempatan,” katanya.
Sementara itu, Azman berkata KPDN akan memasang 17 papan tanda larangan import dan eksport di semua Kompleks ICQS di negeri bersempadan Thailand.
Beliau berkata papan tanda amaran itu akan memaparkan larangan pembelian petrol RON95 oleh warga asing, selain larangan membawa keluar minyak masak peket serta barangan kawalan lain.
Dalam perkembangan berkaitan, KPDN turut akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di semua stesen minyak di kawasan sempadan mulai tahun ini sebagai langkah memperkukuh penguatkuasaan.
Azman berkata pendekatan berasaskan teknologi itu bertujuan membanteras ketirisan serta penyelewengan petrol RON95 dan diesel, khususnya di lokasi berisiko tinggi yang disyaki menjadi tumpuan sindiket.
“Tanpa kawalan rapi, seorang individu boleh menyedut atau mengisi petrol sehingga 40 tong jerikin, justeru pemasangan CCTV dan penggunaan data akan menjadi asas penting dalam menyokong siasatan serta tindakan penguatkuasaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial