JENAYAH & MAHKAMAH

33 Penyokong Selangor FC Cetus Kekecohan Direman, 21 Positif Dadah

02/02/2026 06:06 PM

KUALA TERENGGANU, 2 Feb (Bernama) -- Sebanyak 33 penyokong Selangor FC direman hari ini atas kesalahan memiliki dan positif dadah, selain mengganggu tugas penjawat awam berhubung kekecohan yang berlaku di Jambatan Angkat Kuala Terengganu semalam.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata daripada jumlah itu, 21 individu didapati positif dadah tetrahydrocannabinol (THC) hasil ujian saringan air kencing dan ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Tujuh daripada tangkapan itu adalah pelajar dan penuntut, iaitu dua pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), empat pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan seorang pelajar sekolah menengah.

“Kesemua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 dan seterusnya diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Mohd Khairi berkata pihaknya menerima laporan semalam berhubung tindakan sekumpulan penyokong yang mengadakan perarakan secara tidak terkawal, menghalang laluan kenderaan awam serta membakar suar, sekali gus menunjukkan perbuatan berbahaya, tidak bertanggungjawab serta melanggar undang-undang. 

“Bertindak atas maklumat diterima, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu telah mengambil tindakan penguatkuasaan tegas di lokasi kejadian. Keseluruhan rombongan melibatkan 10 bas memuatkan kira-kira 412 orang ditahan dalam kejadian pada 8 malam dan dibawa ke IPK Terengganu bagi tujuan pemeriksaan serta siasatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan ke atas bas itu, pihak polis menemukan serta merampas dadah disyaki ganja seberat 19.1 gram dan erimin 5 seberat 0.37 gram. Kesemua dadah yang dirampas dipercayai untuk kegunaan sendiri melibatkan tiga tangkapan dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Mohd Khairi berkata pemeriksaan saringan awal air kencing ke atas kesemua 412 orang termasuk pemandu dan penumpang bas telah dijalankan.

“Sebanyak 21 individu yang juga penyokong bola sepak didapati positif dadah THC manakala tiga individu ditahan kerana memiliki dadah disyaki ganja dan disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Mohd Khairi berkata sembilan individu ditahan kerana memiliki suar dan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata kesemua tangkapan berumur 17 hingga 43 tahun ditahan reman hari ini bagi membantu siasatan dan perintah reman dikeluarkan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak.

“Mereka yang memiliki dadah direman selama empat hari sehingga 5 Feb manakala individu positif dadah serta ditahan atas kesalahan jenayah masing-masing direman selama tiga hari,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video menerusi media sosial memaparkan sekumpulan penyokong Selangor FC berarak sambil membawa bendera pasukan dari arah bandar raya menuju ke Jambatan Angkat Kuala Terengganu sebelum menyalakan suar ketika berada di tengah jambatan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan