AM

Sarawak Hantar Pelajar Ke UK, Latih Pakar Semikonduktor

04/02/2026 04:14 PM

KUCHING, 4 Feb (Bernama) -- Sarawak akan menghantar pelajar tempatan melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Bristol, United Kingdom sebagai usaha strategik melahirkan pakar dalam industri semikonduktor.

Inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama antara Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor, Universiti Bristol dan Yayasan Sarawak yang memeterai memorandum persefahaman (MOU) dalam satu acara diadakan di Kompleks Satria Pertiwi di sini, hari ini.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerjasama itu bertujuan melatih anak tempatan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD, selain menyokong aktiviti penyelidikan dalam industri semikonduktor.

Beliau berkata Sarawak berhasrat membangunkan industri semikonduktor yang bukan sahaja menggunakan teknologi sedia ada malah mampu membangunkan teknologi sendiri melalui kepakaran anak tempatan.

“Pada peringkat awal, kita akan menghantar tiga pelajar untuk melanjutkan pengajian PhD di Universiti Bristol, sama ada mereka yang telah mempunyai pengalaman atau yang mempunyai Ijazah Sarjana. 

“Semestinya mereka yang terpilih ini akan berkhidmat dengan kerajaan negeri Sarawak selepas tamat pengajian, jumlah ini (tiga pelajar) juga akan kita tambah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri acara tersebut.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan