AM

Genggam PhD Dari Tirai Besi: Malik Bangkit Tebus Maruah Diri

04/02/2026 09:00 PM

Oleh Wong Chun Wai

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan memberikan pengampunan kepada ramai banduan, tetapi baginda tidak pernah bertemu dengan mereka yang dikurniakan ‘kebebasan’ tersebut.

Melainkan seorang, Dr Malik Yatam, banduan pertama di negara ini yang memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) semasa menjalani hukuman penjara.

Malik, kini berusia 39 tahun, dipenjarakan pada usia 14 tahun pada 2001 dan tidak pernah membayangkan beliau akan keluar dari penjara 25 tahun kemudian dengan gelaran “Dr”.

Beliau diberikan pengampunan diraja pada 11 Dis 2024 sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Selangor.

Hari ini, lelaki Kadazandusun dari Sabah itu mengusahakan ladang cili di Selangor bersama beberapa bekas banduan sebagai rakan kongsi.

Dalam tutur kata yang lembut, Malik sambil merenung jauh mengimbau kembali pengalaman hidupnya, kebanyakannya berupa kisah sedih dan memilukan, yang membuatkannya bertekad untuk memperbaiki diri melalui pendidikan semasa di penjara walaupun segalanya masih kabur dan jauh daripada realiti.

Perjalanan hidup Malik amat tragis, namun menjadi bukti ketabahan, sebuah cerita tentang seorang insan yang enggan mengalah di sebalik apa yang telah berlaku ketika masa beredar pantas meninggalkannya.

Ketenangan dan emosinya tidak dapat dibendung apabila diterima menghadap selama sejam oleh Sultan Sharafuddin pada Selasa.

Air mata mengalir di akhir pertemuan ketika beliau memeluk Sultan Selangor, yang telah berjanji untuk menaja Malik menunaikan umrah bersama isteri, seorang penjawat awam.

Malik meninggalkan kampung halamannya di Keningau untuk ke Kuala Lumpur bersama tujuh yang lain, tertarik dengan janji peluang kerja dengan gaji RM800 sebulan demi menyara keluarganya yang miskin.

Namun selepas enam bulan bekerja di sebuah restoran di Sekinchan, beliau tidak pernah menerima sesen pun wang gaji kerana menjadi mangsa eksploitasi buruh dan penderaan fizikal.

Dalam usaha terdesak untuk melarikan diri, telah berlaku satu pertengkaran yang kemudian berakhir dengan kematian majikannya.

Malik menjalani hukuman Tahanan Limpah Sultan (TLS), terlepas tali gantung di bawah Akta Kanak-Kanak, tetapi dipenjarakan tanpa ada tarikh pembebasan.

Tidak seperti kanak-kanak seusianya yang baru memulakan kehidupan sebagai pelajar sekolah dengan kenangan manis zaman kanak-kanak, dunianya terhenti secara mengejut dan menyedihkan.

Namun, remaja yang keciciran sekolah itu bertemu seorang pegawai juvenil yang baik hati, yang menanamkan semangat dalam dirinya untuk meneruskan persekolahan.

Malik meminjam buku daripada rakan banduan dan menahan ejekan banduan lain yang mentertawakan hasratnya, sambil bertanya mengapa beliau mahu bersusah payah sedangkan tiada tarikh pembebasan ditetapkan.

Tanpa sedikit pun terganggu, Malik menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2006 dalam usia 21 tahun, diikuti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) setahun kemudian.

Beliau akhirnya menyiapkan tesis PhD dalam jurusan pentadbiran perniagaan dari Open University Malaysia (OUM), menulis disertasi mengenai kemahiran keusahawanan banduan.

“Ia sangat sukar. Terdapat sekatan terhadap penyelidikan dalam talian kerana kekangan keselamatan untuk banduan.

“Tetapi penyelia tesis saya banyak membantu dalam penyelidikan kerana beliau menyediakan buku rujukan dan nota,” katanya.

Beliau menghargai sokongan Jabatan Penjara, pihak berkuasa agama dan dermawan seperti Datuk Dr Hartini Zainuddin, aktivis terkemuka di sebalik Yayasan Chow Kit, yang menaja pengajiannya.

Keimanan memainkan peranan besar dalam kehidupan Malik. Beliau memeluk Islam pada 2002 dan berkata agama sememangnya memainkan peranan penting, sambil terus mengucapkan “syukur kepada Allah” atas hidayah yang diberikan.

Beliau bertemu isterinya secara kebetulan dalam penerbangan pulang ke Kota Kinabalu dari KLIA selepas dibebaskan, membantu isterinya mengangkat bagasi, sebelum menyedari mereka mempunyai hubungan melalui seorang saudara.

“Saya kini menggalakkan beliau menyambung pengajian kerana saya percaya pendidikan boleh mengubah cara berfikir dan kehidupan kita,” katanya.

Kini menjadi penceramah motivasi pendidikan, Malik berkata beliau memberikan ceramah kepada golongan belia dengan harapan mereka akan mempunyai keazaman dan tekad seperti dirinya.

Setelah “membesar” di Penjara Kajang, beliau mengakui tidak mudah untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di luar tirai besi, daripada belajar menggunakan telefon pintar hingga mengendalikan aplikasi e-hailing.

“Saya menghadapi kesukaran menggunakan e-hailing dan telah ditipu dua kali kerana terlalu baik hati menghantar wang kepada seorang yang mendakwa memerlukan wang untuk anaknya, tetapi mujur isteri saya sentiasa mengingatkan,” katanya..

Kisah Malik amat luar biasa dan penuh inspirasi. Beliau mengejar cita-citanya dalam pendidikan dengan penuh rendah hati dan tekad, sedar yang beliau perlu berusaha lebih keras berbanding individu lain untuk mencapai kejayaan yang sama.

Pastinya terdapat momen kelelahan yang amat sangat, dengan berhenti seolah-olah pertimbangan yang munasabah. Namun, beliau tetap meneruskan perjuangan - melalui pengajian, melalui kegagalan, melalui bertahun-tahun usaha yang memerlukan kesabaran dan keyakinan. Sehinggalah pada suatu hari, beliau memperoleh PhD.

Menariknya - beliau bertemu seorang banduan VVIP yang mendekatinya untuk mendapatkan nasihat sama ada patut meneruskan PhD setelah mengetahui kisah kejayaannya yang telah tersebar di seluruh penjara.

“Saya memberitahunya, jika saya boleh melakukannya, sudah tentu kamu boleh melakukan dengan lebih baik daripada saya,” katanya.

-- BERNAMA

*Datuk Seri Wong Chun Wai adalah Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Tokoh Wartawan Negara

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan