TANGKAK, 5 Feb (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor telah mengeluarkan 2,136 notis atas pelbagai kesalahan jalan raya sejak 1 Jan lepas hingga semalam (4 Feb) menerusi penguatkuasaan terancang Op Gempur Kenderaan Perdagangan.
Pengarah JPJ Johor Zulkarnain Yasin berkata notis dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 12,510 kenderaan di negeri itu.
Beliau berkata kesalahan teknikal seperti nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tidak memakai tali pinggang keledar dan menggunakan lampu tidak sesuai mencatatkan kesalahan paling banyak dilakukan dengan 555 kes.
“Kesalahan lain ialah tiada lesen memandu (CDL), tiada lesen vokasional, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, tiada insurans serta membawa muatan berbahaya dan berlebihan.
“Sebanyak 1,305 kenderaan telah dikenakan tindakan dengan 33 daripadanya disita iaitu 20 kenderaan barangan lebih 7,500 kilogram (kg), empat kenderaan barangan bawah 7,500 kg, tujuh bas pekerja dan dua bas sekolah,” katanya kepada pemberita selepas operasi terbabit di Stesen Penguatkuasan JPJ Kesang di sini malam tadi.
Zulkarnain berkata kesemua kenderaan disita itu didapati melakukan kesalahan berisiko atau tidak selamat serta tidak layak untuk berada di atas jalan raya.
Beliau berkata pihaknya mendapati tahap kesedaran terhadap pematuhan peraturan keselamatan jalan raya khususnya dalam kalangan kenderaan perdagangan masih pada skala rendah.
“Ada juga yang melakukan kesalahan gagal memiliki lesen memandu, gagal memperbaharui atau tiada LKM dan tiada perlindungan insurans,” katanya sambil menambah operasi itu turut dibantu pihak polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Sempena Tahun Baharu Cina dan Ramadan, Zulkarnain berkata JPJ Johor juga akan menjalankan operasi sepertimana tahun sebelum ini bagi memastikan kelancaran serta keselamatan pengguna jalan raya, khususnya di kawasan sering berlaku kemalangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial