KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Peraturan baharu yang memperluas tindakan undang-undang terhadap penyalahgunaan petrol RON95 bersubsidi kepada kedua-dua pihak iaitu pembeli dan penjual bermula 1 April ini disifatkan sebagai pendekatan lebih adil dan seimbang dalam menangani ketirisan subsidi.
Komitmen daripada pengusaha stesen minyak terhadap usaha pencegahan di peringkat penjual di samping peranan masyarakat sebagai ‘mata dan telinga’, menunjukkan peraturan berkenaan berpotensi mengurangkan penyelewengan, memastikan subsidi dinikmati oleh pihak yang layak serta meningkatkan ketelusan dalam pengurusan bahan api bersubsidi.
Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha stesen minyak yang secara sengaja dan sedar menjual bahan api bersubsidi kepada pihak yang tidak layak adalah wajar.
Justeru katanya, di peringkat penjual atau pengusaha stesen petrol juga perlu lebih peka dengan kehadiran kereta berpendaftaran asing dan memastikan tiada cubaan pembelian petrol bersubsidi.
“Selain itu, tindakan sama terhadap individu yang tidak layak membeli bahan api bersubsidi juga dilihat satu langkah tepat membanteras ketirisan di pihak pembeli.
“Pemandu yang dengan sengaja menyembunyikan nombor pendaftaran atau membuat representasi palsu terhadap kenderaan mereka bertindak dengan niat yang jelas, justeru penalti terhadap pelaku perlu bermakna, berkadar dan mencerminkan tahap kesalahan,” katanya.
Selain itu, PDAM juga menyokong penguatkuasaan berasaskan teknologi termasuk sistem yang mampu mengesan kenderaan berdaftar asing dan mengehadkan pengisian petrol kepada RON97, selain menumpukan tindakan terhadap kebocoran subsidi berimpak tinggi khususnya melibatkan sindiket terancang dan penyelewengan berskala besar.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata mulai 1 April, stesen minyak dan pemilik atau pengguna kenderaan berpendaftaran asing boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya melakukan jual beli RON95 bersubsidi.
Beliau berkata ia berdasarkan peraturan baharu di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang melarang pembelian RON95 bersubsidi oleh kenderaan berpendaftaran asing.
Usaha penambahbaikan dasar serta peraturan itu adalah selaras dengan hasrat dan hala tuju kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan penyasaran subsidi dapat dilaksana dan dinikmati secara terus oleh rakyat Malaysia.
Pada masa sama, kerajaan juga sentiasa mengambil langkah terbaik dalam menguatkuasakan larangan pembelian petrol RON95 bagi kenderaan berpendaftaran asing walaupun bahan api itu diapungkan (harga komersial), menerusi penggunaan mekanisme MyKad dalam menyalurkan subsidi petrol merupakan langkah awal dalam memastikan hanya golongan yang layak dapat menikmati pembelian petrol RON95 bersubsidi.
Sementara itu, tinjauan reaksi awam di beberapa stesen petrol sekitar ibu negara mendapati, pengguna secara umumnya menyokong tindakan baharu itu yang dilihat mampu membanteras penyelewengan RON95 terutama pengusaha yang mengaut keuntungan secara tidak bertanggungjawab.
Mereka berpendapat terdapat segelintir pengusaha sengaja ‘menggelapkan mata’ apabila ada pelanggan yang menggunakan kenderaan dengan pendaftaran asing membeli RON95, sehubungan itu langkah tersebut akan memastikan tiada pihak yang dapat mengeksploitasi kemudahan itu.
Bagi penjawat awam Mohd Huzairy Abdul Manaf, 38, yang pernah berdepan situasi melihat pihak stesen petrol membenarkan warga asing atau pemilik kenderaan asing membeli bahan bakar itu, beliau yakin peraturan baharu terbabit mampu mengekang ketidaktelusan yang berlaku di stesen petrol.
“Mungkin petugas mereka tak peka atau sengaja biarkan warga asing ini membeli RON95… sedangkan semua orang tahu RON95 hanya untuk warga tempatan. Secara peribadi saya juga mahu pihak berkuasa buat pemantauan yang kerap di setiap stesen minyak,” katanya.
S.Ravin Rau, 27, berpendapat selain peraturan dan penguatkuasaan undang-undang, masyarakat juga mempunyai peranan sebagai ‘mata dan telinga’ untuk membantu membanteras ketirisan kemudahan subsidi itu.
“Kalau nampak kereta asing diisi dengan RON95, segera tekan butang ‘kecemasan’ di mesin pam petrol untuk menghentikan proses pengisian dan lapor kepada pihak stesen minyak,” kata pekerja gig penghantar makanan itu.
Untuk rekod, pada Januari 2026, seorang penduduk tetap Singapura yang juga merupakan pesara berusia 64 tahun didenda RM9,000 oleh Mahkamah Majistrest Kulai selepas dia dirakam kerana bertindak menutup sebahagian nombor plat dengan menggunakan pelekat hitam untuk mengisi RON95 di Johor.
KPDN komited memperkasakan keupayaan pemantauan dan penguatkuasaan dengan beberapa agensi persekutuan termasuk polis, tentera, agensi penguatkuasaan maritim, jabatan kastam dan agensi kawalan sempadan dalam memerangi isu ketirisan subsidi.
Orang ramai juga dialu-alukan untuk menyalurkan aduan awam terhadap salah guna jual beli RON95 melalui saluran aduan rasmi KPDN di talian Hotline 1-800-886-800 atau WhatsApp 019-848 8000.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial