AM

TCS Gesa Penguatkuasaan Lebih Tegas Bendung Aktiviti Jenayah Libatkan Tuntung

06/02/2026 08:11 PM

CHUKAI, 6 Feb (Bernama) -- Persatuan Pemuliharaan Penyu Malaysia (TCS) bimbang aktiviti jenayah melibatkan haiwan eksotik, iaitu tuntung sungai, menjadi semakin berleluasa sekiranya tindakan penguatkuasaan tidak dilaksanakan secara tegas dan berkesan.

Pengasas Bersama merangkap Pengarah Eksekutif TCS Dr Chen Pelf Nyok berkata peranan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) penting dalam memastikan jenayah terhadap haiwan dilindungi itu dapat dikawal sepenuhnya.

Beliau berkata agensi terlibat perlu melakukan operasi dan pemantauan secara lebih serius termasuk mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) terhadap individu yang dikesan melakukan kesalahan mengancam reptilia berkenaan.

 "Pelaksanaan undang-undang itu penting dalam usaha melindungi, memulihara dan mengurus hidupan liar serta habitatnya termasuk tuntung.

 "Antara kesalahan yang dikesan masih dilakukan ialah makan dan menjual telur, memelihara tanpa permit serta membunuh haiwan tersebut," katanya ketika ditemui Bernama di Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai, Kampung Pasir Gajah, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan Perhilitan bagi memburu mereka yang melakukan jenayah terbabit untuk melindungi spesies yang unik itu daripada kepupusan.

Chen berkata pada masa sama, penduduk setempat juga diminta melaporkan kepada TSC dan Perhilitan sekiranya terdapat individu yang mencurigakan dikesan melakukan aktiviti mengancam keselamatan tuntung.

"TSC turut menubuhkan pasukan melibatkan komuniti penduduk dikenali sebagai Geng Tuntung bagi membantu meningkatkan kesedaran awam untuk melindungi dan menyelamatkan tuntung di Sungai Kemaman," katanya. 

Selain itu, katanya, Jabatan Perikanan turut diminta melakukan pemantauan terhadap aktiviti nelayan sungai yang menjejaskan hidupan tuntung.

Beliau berkata hasil tinjauan yang selalu dilakukan TSC mendapati banyak peralatan menangkap ikan seperti pukat, jala, tali dan mata kail yang hanyut selepas ditinggalkan nelayan.

"Pada 29 Jan lepas, bangkai seekor tuntung jantan berukuran 47 sentimeter (cm) panjang, 37 cm lebar dan seberat 18 kilogram telah ditemukan mati selepas tersangkut pada rawai di Sungai Kemaman berhampiran Kampung Pasir Gajah," katanya.

 Selain itu, beliau berkata TSC berjaya mengutip 1,825 biji telur tuntung di Sungai Kemaman pada 2025 berbanding 1,362 biji pada 2024, manakala tahun ini pula mereka menyasarkan kutipan sebanyak 2,000 biji telur.

 Chen berkata telur tuntung yang dikutip itu akan dieram di Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai selama tiga bulan sebelum anak tuntung dilepaskan di sungai.

 "Pada tahun lepas, sebanyak 1,506 ekor anak tuntung dilepaskan berbanding 1,176 ekor pada 2024. Tuntung sungai hanya mula bertelur pada usia 20 tahun ke atas dan spesies itu bertelur pada bulan Januari dan Mac sahaja," katanya.

 -- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan