Oleh Christine Lim
KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Peminat “yuzu” di Malaysia akan dapat menikmati rasa dan aroma buah sitrus dari Jepun kerana produk yuzu dari Umaji Village di Wilayah Kochi, di pulau Shikoku selatan Jepun, dibawa ke Malaysia buat kali pertama.
Pengarah Kanan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) Kuala Lumpur Tomohide Maeda berkata Jetro dengan kerjasama Koperasi Pertanian Kampung Umaji mewakili petani yuzu di kampung itu memperkenalkan pelbagai produk berasaskan yuzu untuk perasa makanan dan minuman.
Menurutnya, buah sitrus membawa kepentingan budaya dalam sambutan Tahun Baharu.
“Aroma dipercayai mempunyai kuasa untuk menghalau roh jahat (menurut kepercayaan penduduk tempatan di sana). Oleh itu, yuzu digunakan dalam hidangan Tahun Baharu,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual yang diadakan baru-baru ini sempena pelancaran gerai produk yuzu Umaji Village yang dibuka dari 26 Januari hingga 8 Februari di Jaya Grocer di Sunway Pyramid, Selangor.
Maeda menekankan bahawa beberapa produk dibawa ke Malaysia telah memperoleh pensijilan Halal dan produk yuzu dari Wilayah Kochi, pengeluar yuzu terbesar di Jepun telah dieksport ke 34 negara dan wilayah pada 2024 termasuk Malaysia.
“Pada 2024, syarikat-syarikat dari wilayah Kochi mengeksport produk makanan bernilai 193 juta yen (100 yen = RM2.5) ke Malaysia termasuk teh, sake dan sherbet dari Jepun.
“Kami berharap dapat memperluas eksport minuman keras, sherbet dan kuih-muih berasaskan yuzu dalam masa terdekat, dan Jetro menggalakkan syarikat-syarikat untuk menggunakan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Jepun-Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Pejabat Jualan Koperasi Pertanian Umaji Village Kazuhiro Iwasada berkata walaupun populasinya kecil iaitu hanya 800 penduduk, Umaji Village terletak di pergunungan Kochi, merupakan salah satu pengeluar yuzu terbesar di Jepun.
“Kami berhasrat untuk memperluas rangkaian produk yuzu yang ditanam secara organik dari Umaji Village. Produk-produk ini dihasilkan di kilang pemprosesan menghasilkan minuman berperisa yuzu, kicap ponzu dan sos,” kata Iwasada.
Beliau memberitahu produk yuzu telah memikat selera chef di seluruh dunia dan digunakan secara meluas di banyak hotel dan restoran mewah di Eropah, Amerika Syarikat (AS), Thailand dan Singapura.
Pada masa ini, produk berasaskan yuzu dari kampung berkenaan dieksport ke negara-negara seperti AS, Mexico, Dubai, Australia, Thailand, Singapura, Shanghai dan Hong Kong.
Iwasada berkata tumpuan lebih kepada penjualan produk yuzu yang berasal dari jus yuzu, bukannya buahnya kerana permintaan pasaran lebih kepada rasa dan kualiti produk.
“Kami berhasrat untuk memperluas rangkaian produk yuzu di Malaysia termasuk produk yang memperoleh pensijilan Halal, di pasar raya dan restoran,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial