AM

Tiong Rasmi Inisiatif Rekod Pelancongan ASEAN, Asia TMM2026

07/02/2026 02:27 PM

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Inisiatif Rekod Pelancongan ASEAN dan Rekod Pelancongan Asia serta inisiatif Meneroka Malaysia Bersama WIRA & MANJA telah dirasmikan pada peringkat kementerian  sebagai menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Majlis perasmian dan memeterai dokumen itu disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing pada semalam, sekali gus menandakan satu langkah penting dalam menyelaraskan inisiatif rekod itu dengan objektif pelancongan negara.

Perasmian itu menandakan kementerian menyokong rangka kerja rekod pelancongan yang tersusun, mendokumentasikan dan membentangkan aset pelancongan bukan komersial melalui rekod yang disahkan, berdasarkan fakta dan boleh diukur, selaras dengan strategi pembangunan pelancongan Malaysia di bawah TMM2026.

Dalam satu kenyataan bersama, Pengarah ASEAN Records dan Asia Records Gillian Ooi dan Eldrick Koh berkata inisiatif rekod itu bertujuan memberikan pengunjung dan pihak berkepentingan pemahaman lebih mendalam mengenai destinasi dengan membentangkan nilai pelancongan melalui dokumentasi  yang objektif dan bukannya naratif promosi konvensional.

“Inisiatif rekod berkenaan menumpukan kepada pengiktirafan aset pelancongan seperti tapak warisan semula jadi dan ekologi, mercu tanda sejarah dan budaya, tarikan pelancongan yang boleh diakses oleh orang ramai serta destinasi yang diuruskan secara komuniti dan berasaskan warisan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, sebagai sebahagian pelaksanaan berterusan, inisiatif berkenaan dijalankan bersama program Meneroka Malaysia Bersama WIRA & MANJA, satu program melibatkan seluruh negara yang akan merentas kesemua 13 negeri di Malaysia, mempromosikan pelancongan melalui rekod, penceritaan, interaksi budaya dan penyertaan komuniti.

Perasmian itu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam memartabatkan keaslian pelancongan, pemeliharaan warisan dan kelestarian, sambil memperluas kehadiran negara di   ASEAN dan Asia melalui dokumentasi pelancongan yang tersusun.

Inisiatif Rekod Pelancongan ASEAN dan Rekod Pelancongan Asia akan terus menyokong TMM2026, menggalakkan kedatangan pengunjung domestik dan antarabangsa untuk meneroka Malaysia serta lebih mengetahui mengenai warisan pelancongan dan kepelbagaian destinasi negara.

Inisiatif berkenaan sebelum ini dilancarkan pada 22 Okt semasa Malam Gala Rekod ASEAN di Kuala Lumpur dan telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan