AM

Gamalux Oils, MBDK Laksana Pembersihan Pantai Di Tanjung Harapan

07/02/2026 05:26 PM

SHAH ALAM, 7 Feb (Bernama) -- Gamalux Oils Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pembersihan pantai di Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang hari ini. 

Gamalux Oils memaklumkan program CSR itu sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat untuk menyokong kelestarian alam sekitar selaras dengan amalan perniagaan bertanggungjawab serta usaha mengekalkan keseimbangan antara pembangunan perindustrian dan pemeliharaan alam semula jadi.  

Selain itu, inisiatif tersebut juga bertujuan memupuk kesedaran komuniti terhadap kepentingan menjaga ekosistem pantai, terutamanya di kawasan awam yang sering terdedah kepada pencemaran sisa pepejal. 

“Aktiviti yang bermula 8 pagi dan berakhir pada 11.30 pagi disertai peserta terdiri daripada petugas  Gamalux Oils dan MBDK. 

“Program dimulakan dengan sesi senaman ringan untuk memastikan keselamatan dan kesediaan peserta diikuti aktiviti pengumpulan sisa di sepanjang kawasan pantai selama hampir dua jam,” menurut kenyataan dikeluarkan Gamalux Oils hari ini.

“Hasil kerjasama ini, pelbagai jenis sisa di sepanjang pantai berjaya dikumpulkan dan diuruskan dengan kaedah sewajarnya sekali gus membantu memperbaik tahap kebersihan kawasan itu serta mengurangkan risiko pencemaran terhadap ekosistem marin dan persekitaran setempat,” menurut kenyataan itu. 

Gamalux Oils memaklumkan walaupun inisiatif itu dilaksanakan dalam skala sederhana, ia membawa mesej besar bahawa langkah kecil yang dilaksanakan secara konsisten mampu mencetuskan perubahan lebih bermakna dan berpanjangan dalam usaha pemeliharaan alam sekitar.  

Selain itu, program CSR seperti itu juga mencerminkan kepercayaan syarikat bahawa penglibatan aktif warga kerja dalam aktiviti kemasyarakatan dapat membentuk budaya tanggungjawab sosial lebih kukuh. 

“Gamalux Oils berharap program seperti ini dapat menggalakkan penglibatan lebih meluas pelbagai pihak termasuk sektor industri, Pihak Berkuasa Tempatan dan komuniti setempat untuk bersama-sama memainkan peranan menjaga kebersihan dan kelestarian kawasan awam,” menurut kenyataan itu. 

Selain itu, Gamalux Oils merakamkan penghargaan kepada MBDK atas sokongan dan kerjasama erat sepanjang pelaksanaan program itu yang diharapkan membuka ruang kepada lebih banyak inisiatif CSR pada masa hadapan untuk kesejahteraan komuniti, alam sekitar serta generasi akan datang. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan