AM

Penghayatan Tatakelola Antara Empat Fokus Utama Perkukuh Perkhidmatan Awam

07/02/2026 07:13 PM

BANGI, 7 Feb (Bernama) -- Penghayatan nilai dan tatakelola berteraskan integriti serta pelaksanaan program secara pantas dan berimpak tinggi adalah antara empat fokus utama yang digariskan bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata dua lagi fokus utama yang akan diberikan keutamaan adalah aspek pendigitalan perkhidmatan awam dan pemerkasaan komunikasi pada semua peringkat .

“Fokus yang pertama adalah kepada penghayatan nilai dan tatakelola. Ini melibatkan isu-isu berkaitan dengan integriti. 

“Yang kedua adalah berkaitan dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kita melaksanakan program dengan segera yang bermantrakan ‘fast execution and impactful result’,” katanya dalam sidang media selepas Permukiman Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan (KSUKP) Tahun 2026, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Shamsul Azri berkata hasil permukiman KSUKP akan dibentangkan kepada mesyuarat Kabinet, membabitkan aspek langkah-langkah perlu yang perlu dijalankan pada peringkat perkhidmatan awam.

“Kami sebagai penjawat awam akan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik demi rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Perdana Menteri yang turut menghadiri sesi permukiman itu menekankan pendekatan menyeluruh kerajaan dengan menolak budaya silo atau bersendirian.

“Kita tidak boleh bekerja sebagai silo, kita kena bekerja sebagai satu pasukan. Perdana Menteri yakin dengan komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh penjawat awam dalam merealisasikan hasrat rakyat,” katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri menekankan tentang pentingnya kesepaduan, sekali gus menolak isu perkauman yang sempit. 

“Tolak isu yang remeh-temeh, kita (perkhidmatan awam) fokus kepada membangunkan rakyat dan untuk kesejahteraan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan