AM

Pesta Angin Timur Platform Strategik Pacu Sektor Pelancongan Negeri - Raja Perlis

07/02/2026 10:17 PM

KANGAR, 7 Feb (Bernama) -- Pesta Angin Timur (PAT) merupakan platform strategik dalam memacu sektor pelancongan negeri Perlis yang membuka ruang promosi keunikan budaya dan tradisi serta keindahan alam negeri itu untuk diketengahkan kepada pelancong dalam dan luar negara.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah ia sekali gus memperkukuh imej negeri itu sebagai destinasi pelancongan budaya yang tersendiri dan berdaya saing.

“Saya juga melihat pesta ini sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi rakyat, khususnya kepada pengusaha kecil dan sederhana, peniaga tempatan, penggiat seni, usahawan kreatif serta komuniti setempat.

“Penyertaan mereka bukan sahaja memberi nilai tambah kepada penganjuran pesta ini malah menyediakan peluang pendapatan, memperluas jaringan perniagaan dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi masyarakat setempat,” titah baginda semasa berkenan merasmikan PAT Perlis 2026 di Dataran Kangar Jaya di sini hari ini.

PAT Perlis 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam memasuki edisi ke-14 dan ia anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui JKKN dan Kerajaan Negeri Perlis bagi mempromosikan keunikan budaya serta warisan negeri itu selaras usaha menyokong kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026). 

Untuk rekod, pada sidang media 30 Jan lepas, Menteri Besar Abu Bakar Hamzah memaklumkan PAT Perlis 2026 disenaraikan dalam kalendar pelancongan sempena TMM 2026 dan menjadi antara acara pembuka tirai pelancongan budaya negara.

Sehubungan itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah penganjuran pesta seumpama itu diharap dapat terus diperluas dan diperkasa melalui kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Persekutuan, sektor swasta dan komuniti setempat supaya manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh dan berterusan.

Baginda bertitah usaha memelihara warisan budaya perlu seiring dengan pembangunan ekonomi yang mampan agar kemajuan dicapai tidak menghakis identiti dan nilai tradisi negeri Perlis.

“Saya juga amat menghargai kehadiran para pengunjung yang memeriahkan PAT Perlis tahun ini. Kehadiran hadirin sekalian menjadi manifestasi sokongan terhadap usaha memartabatkan seni budaya, merancakkan sektor pelancongan serta memperkasa ekonomi rakyat negeri Perlis secara tidak langsung,” titah baginda.

Ketua Pengarah JKKN Mohd Amran Mohd Haris pula berkata PAT Perlis akan terus diperkasa selaras aspirasi MOTAC yang menyasarkan pengiktirafan antarabangsa bagi pesta berteraskan warisan budaya itu dengan mengusahakan penglibatan dalam pertandingan termasuk acara wau dan gasing pangkah pada tahun ini.

Beliau berkata penganjuran PAT sebagai produk pelancongan budaya berpotensi tinggi mengangkat Perlis sebagai destinasi unik berteraskan warisan tradisi sekali gus menyokong usaha kementerian memperluas promosi pesta itu ke peringkat global.

“Kita mahu Pesta Angin Timur menjadi satu jenama negeri dan pada masa sama, seiring dengan matlamat kementerian untuk meletakkan pesta ini di pentas antarabangsa melalui penyertaan peserta luar negara serta kepelbagaian pengisian pesta,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian PAT Perlis.

Mohd Amran berkata penganjuran kali ini menampilkan pendekatan lebih tersusun dengan 80 peratus program diadakan di Dataran Kangar Jaya manakala bakinya di kawasan bendang bagi mengekalkan elemen tradisi.

“Elemen bendang masih dikekalkan kerana Pesta Angin Timur sangat sinonim dengan aktiviti selepas musim menuai… antaranya pertandingan menangkap belut dan memanjat tiang licin yang turut disaksikan semasa majlis perasmian tadi,” katanya.

Beliau berkata pemilihan lokasi pada penganjuran kali ini juga lebih sesuai bagi membantu mengurangkan risiko penangguhan PAT Perlis akibat faktor cuaca sekali gus memastikan kelancaran perjalanan acara sepanjang pesta itu berlangsung.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan