AM

2,500 Pertubuhan Belia Disasar Mohon Geran Sejati MADANI

08/02/2026 06:53 PM

BUTTERWORTH, 8 Feb (Bernama) -- Sebanyak 2,500 pertubuhan belia di seluruh negara disasarkan layak memohon geran SejaTi MADANI berjumlah RM250 juta bagi membantu organisasi belia menjana pendapatan sendiri serta memperkukuh peranan mereka sebagai pelapis kepimpinan masa depan negara.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata setiap pertubuhan yang layak boleh menerima geran sehingga RM100,000, yang disalurkan secara geran penuh. 

Beliau berkata inisiatif itu bertujuan memastikan pertubuhan belia bukan sahaja bergantung kepada bantuan kerajaan, tetapi juga mampu berdikari melalui aktiviti penjanaan pendapatan yang mampan dan berimpak kepada komuniti setempat.

“Geran RM100,000 ini bukan sekali beri untuk dihabiskan, tetapi menjadi modal awal yang diharapkan mampu berkembang kepada RM500,000 atau RM1 juta dalam tempoh setahun melalui pelaksanaan projek yang berdaya maju,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Santuni Pertubuhan Belia Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Mohammed Taufiq berkata program Santuni Pertubuhan Belia yang diselaraskan oleh Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) itu akan dilaksanakan menerusi 12 siri jelajah ke seluruh negara bagi memberi penerangan kepada pertubuhan berkenaan berkaitan tadbir urus, pematuhan undang-undang serta pemantapan struktur organisasi.

Beliau berkata penyertaan dalam program berkenaan merupakan syarat utama bagi membolehkan pertubuhan belia memohon geran SejaTi MADANI, selain perlu berdaftar di bawah ROY, mengemukakan dokumen lengkap dan membuat permohonan secara dalam talian.

Setakat 30 Jan lepas, katanya sebanyak 8,077 pertubuhan belia telah berdaftar di bawah ROY dan kerajaan menyasarkan peningkatan penyertaan bukan sahaja dari segi jumlah, malah dari aspek kualiti program yang dilaksanakan oleh pertubuhan berkenaan.

Dalam pada itu, Mohammed Taufiq  berkata pelaksanaan projek itu akan dipantau Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, manakala Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memantau keberhasilan program bagi memastikan dana disalurkan mencapai objektif ditetapkan.

Beliau turut menegaskan kepentingan melahirkan belia berkualiti yang berperanan sebagai ejen perpaduan, menyatukan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang serta menolak sebarang unsur pepecahan yang boleh menggugat keharmonian negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan