AM

Anwar Ucap Tahniah Kepada PM Jepun Susulan Kejayaan LDP

09/02/2026 10:05 AM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada rakan sejawatnya Takaichi Sanae, susulan kemenangan besar Parti Demokratik Liberal (LDP) pada pilihan raya umum Jepun, semalam.

"Mandat ini mencerminkan keyakinan rakyat terhadap visi beliau untuk pembaharuan ekonomi Jepun dan kemampuannya menggerakkan semangat generasi baharu pengundi,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Takaichi berada di Malaysia semasa Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober 2025, hanya beberapa hari selepas beliau memegang jawatan Perdana Menteri Jepun.

Anwar berkata Takaichi menunjukkan komitmen dan semangat yang tinggi dalam membincangkan isu-isu penting bagi kedua-dua negara, termasuk ketahanan ekonomi, peralihan tenaga hijau dan keselamatan maritim.

Perdana Menteri berkata Malaysia komited untuk mengekalkan momentum dalam menangani isu berkenaan serta keutamaan lain.

“Beliau terkenal dengan slogannya work, work, work, work and work demi Jepun.

“Saya menantikan kerjasama erat dengan Perdana Menteri Takaichi bagi meneruskan pembangunan Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Jepun ke tahap seterusnya,” kata beliau.

Berdasarkan Agensi Berita Kyodo, LDP yang membentuk gabungan bersama Parti Inovasi Jepun (JIP),  memperoleh lebih dua pertiga majoriti dalam Dewan Perwakilan pada pilihan raya Ahad lepas, dengan memenangi sekurang-kurangnya 310 daripada 465 kerusi dipertandingkan.

Kemenangan itu menjadikan LDP parti pertama era pascaperang Jepun dan memberi peluang lebih besar kepada kerajaan untuk meluluskan pindaan Perlembagaan serta rang undang-undang walaupun ditolak Dewan Penasihat.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan