AM

Projek RT Progresif KRT Taman Puteri Gunung Buka Peluang Ekonomi Kepada Penduduk

09/02/2026 03:21 PM

Oleh Siti Azila Alias

NIBONG TEBAL, 9 Feb (Bernama) -- Projek RT Progresif yang diusahakan oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Puteri Gunung di sini bukan sahaja membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat, tetapi juga dapat mengukuhkan lagi hubungan komuniti serta kemahiran pengusaha tempatan.

Ketua Projek RT Progresif Noor Jahan Shamsudeen berkata antara aktiviti utama projek itu ialah penghasilan makanan ringan dan tradisional seperti peria goreng, kuih kapit, popia mini, kuih siput dan muruku, yang diusahakan oleh pengusaha wanita daripada komuniti setempat.

Beliau berkata projek yang bermula pada November 2024 itu menerima suntikan modal keseluruhan berjumlah RM6,900 dalam bentuk geran daripada Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Pulau Pinang bagi pembelian barangan dan peralatan selain bimbingan dari segi latihan dan kursus berkaitan termasuk pemasaran.

 “Buat masa ini, kami tidak mempunyai kemudahan asas di pusat aktiviti KRT, jadi keseluruhan proses penghasilan kerepek dan kuih ini dibuat di rumah mengikut tempahan, tetapi pembungkusan dilakukan di sini secara bergotong-royong melibatkan Ahli Jawatankuasa KRT dan jiran.

“Peria goreng menjadi produk paling laris, manakala makanan tradisional seperti kuih kapit dan muruku turut mendapat sambutan dalam kalangan pelanggan kerana mudah diterima semua peringkat umur serta mempunyai permintaan konsisten dalam pasaran,” katanya ketika ditemui Bernama di Taman Puteri Gunung, baru-baru ini.

Noor Jahan berkata selain menjana pendapatan kepada pengusaha, projek RT Progresif berperanan sebagai medium memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.

Dari segi pemasaran, beliau berkata produk keluaran projek RT Progresif dipromosikan menerusi media sosial seperti Facebook dan aplikasi WhatsApp, selain penyertaan dalam pelbagai program serta jualan luar anjuran jabatan dan agensi kerajaan.

Setakat ini, katanya, produk keluaran mereka menerima sambutan memberangsangkan daripada penduduk setempat, malah turut menembusi pasaran luar termasuk di Kuala Lumpur.

Beliau berkata maklum balas positif daripada pelanggan juga mendorong pihaknya untuk merancang menambah variasi produk pada masa hadapan bagi menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna.

“Oleh itu, kami mengharapkan tambahan geran daripada JPNIN untuk membeli peralatan supaya pengeluaran dapat ditingkatkan, pembungkusan dibaiki dan promosi dilakukan secara lebih agresif bagi mengembangkan pasaran produk kami,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perpaduan Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Mohd Fahmi Ibrahim berkata JPNIN berperanan sebagai pemudah cara utama melalui penyediaan bantuan kewangan, latihan serta pemantauan berterusan bagi memastikan kejayaan pelaksanaan Program RT Progresif.

Beliau berkata bantuan berkenaan bertujuan memastikan projek komuniti memberikan pulangan optimum bukan sahaja dari segi ekonomi, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan sosial masyarakat setempat, dengan peruntukan disalurkan berdasarkan keperluan serta jenis projek yang dilaksanakan.

“Bagi KRT Taman Puteri Gunung, kami meluluskan RM5,000 pada peringkat awal untuk pembangunan produk dan kemudian RM1,900 sebagai tambahan bagi melaksanakan projek ekonomi. 

“Kita ada jawatankuasa penilai dan pemantauan serta pegawai penyelia pada peringkat daerah yang akan meneliti kemajuan projek dengan pembentangan dibuat secara bulanan supaya dapat melihat unjuran yang menjadi penanda aras pencapaian program,” katanya.

Beliau berkata selain KRT Taman Puteri Gunung, tiga lagi KRT di daerah SPS terpilih menerima geran di bawah Program RT Progresif, iaitu KRT Changkat/Ladang Changkat yang mengusahakan kelulut, KRT Taman Desa Jawi (pastri) dan KRT Jalan Bukit Panchor yang menyediakan perkhidmatan katering.

RT Progresif ditubuhkan bertujuan memperkasakan ekonomi masyarakat menerusi tumpuan lapan bidang, iaitu ekonomi dan sara hidup, keselamatan dan ketahanan komuniti, kepimpinan, kesejahteraan komuniti, pembelajaran sepanjang hayat, alam sekitar, warisan dan budaya, serta daya cipta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan