AM

Sultan Pahang Berkenan Rasmi Kilang Bio Eneco Di Gebeng

09/02/2026 05:37 PM

KUANTAN, 9 Feb (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mencemar duli merasmikan kilang Bio Eneco Sdn Berhad anak syarikat milik penuh Eldridge Energy Holdings Berhad di Gebeng, di sini. 

Keberangkatan baginda disambut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak, Pengerusi Eldridge Energy Tan Sri Dr Azmil Khalili Khalid dan Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Elridge Energy Yeo Hock Cheong. 

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang Datuk Mohamad Nizar Najib dan Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. 

Pada majlis itu, baginda berkenan menyaksikan tayangan video korporat Bio Eneco sebelum menandatangani plak perasmian dan meluangkan masa melawat kilang terbabit.  

Kilang Bio Eneco yang mula beroperasi di sini pada tahun lepas itu berkapasiti 240,000 tan metrik setahun berfungsi memproses sisa industri, khususnya tempurung isirung sawit untuk dijadikan bahan api biojisim berkualiti tinggi. 

Sementara itu, Yeo dalam ucapannya berkata usaha ini sekali gus mengurangkan pembaziran sumber, malah menukarkannya kepada bahan api boleh diperbaharui bernilai tinggi yang menyokong keperluan tenaga serantau dan antarabangsa.

Beliau berkata pada masa yang sama, projek ini membawa manfaat setempat iaitu memberi peluang pekerjaan, pembangunan rantaian bekalan tempatan dan sumbangan kepada ekonomi hijau negeri Pahang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan