DUNIA

Hubungan Rakyat Dengan Rakyat Tonggak Kerjasama Malaysia - India - Pesuruhjaya Tinggi

10/02/2026 12:16 AM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Hubungan sejarah dan budaya yang terjalin sekian lama, berpaksikan komuniti India di Malaysia, terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan antara Malaysia dan India, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Muzaffar Shah Mustafa.

Bercakap dalam program televisyen Bernama World, beliau berkata kira-kira 200,000 rakyat Malaysia memegang kad Warganegara Luar Negara India (OCI) dan Orang Asal India (PIO), mencerminkan ikatan sejarah dan budaya bersama yang membantu merapatkan hubungan kedua-dua negara.

Beliau menegaskan bahawa penglibatan rakyat dengan rakyat yang lebih mendalam akan kekal menjadi tonggak utama bagi hubungan dua hala yang lebih kukuh.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan rakyat Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman berada di India bagi membina hubungan yang lebih erat antara penduduk kedua-dua negara.

"Kami berharap anda akan datang, mendapat pemahaman yang lebih baik dan mengambil segala peluang untuk membantu merapatkan lagi hubungan kedua-dua negara," katanya.

Selain hubungan rakyat dengan rakyat, Muzaffar berkata penglibatan peringkat tinggi baru-baru ini telah memperkukuh kepercayaan bersama, disokong oleh hubungan peribadi yang erat antara pemimpin kedua-dua negara.

Terbaharu, Perdana Menteri India Narendra Modi telah mengadakan lawatan ke Malaysia pada 7 dan 8 Feb atas undangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai membalas lawatan pemimpin Malaysia itu ke India pada Ogos 2024.

Beliau berkata hubungan baik itu membolehkan perbincangan yang lebih terbuka dan telus, sekali gus membolehkan kedua-dua pihak menangani pelbagai isu dengan mudah serta penuh persefahaman, faktor yang semakin penting di tengah-tengah ketidaktentuan global.

"Situasi global kini semakin tidak menentu. Segalanya bukan lagi seperti biasa, dan kita tidak boleh lagi bergantung semata-mata kepada pasaran tradisional," katanya.

Sementara itu, Muzaffar menggesa rakyat Malaysia untuk mengalami sendiri suasana di India daripada hanya bergantung kepada naratif media yang terpilih dan sering kali terhad, sambil menyatakan bahawa persepsi terhadap negara itu selalunya dibentuk oleh pendedahan yang sempit.

Beliau berkata gambaran media mengenai India kadangkala tertumpu kepada elemen negatif atau sensasi, berbanding membentangkan gambaran negara yang lebih lengkap dan seimbang.

Apabila orang bercakap mengenai India, mereka sering hanya memikirkan bandar raya  seperti New Delhi, Mumbai atau Chennai, namun negara itu sebenarnya jauh lebih pelbagai daripada apa yang disedari oleh kebanyakan rakyat Malaysia, katanya.

"India mempunyai 28 negeri dan beberapa wilayah kesatuan, dengan pelbagai bahasa dituturkan serta budaya berbeza diamalkan di setiap wilayah," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan