JENAYAH & MAHKAMAH

Briged Tengah PGA Serbu 10 Premis Vape, Pelbagai Kesalahan Dikesan

10/02/2026 09:49 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) mengesan pelbagai kesalahan undang-undang dalam serbuan di 10 premis menjual rokok elektronik (vape) menerusi operasi khas di sini hari ini.

Ops E-Cig Mega itu dijalankan dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Komander Briged Tengah PGA SAC Hakemal Hawari berkata pelbagai kesalahan dikesan di bawah bidang kuasa agensi berkaitan dalam pemeriksaan di kesemua premis terlibat, antaranya operasi tanpa permit, tiada lesen perniagaan yang sah serta kegagalan membayar cukai.

"Selain itu, terdapat pelanggaran peraturan melibatkan penjualan produk vape yang tidak berdaftar dengan KKM serta penggunaan pekerja asing secara tidak sah," katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut di sini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan menyeluruh dilakukan terhadap peranti dan cecair perisa bagi memastikan ia mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Katanya KKM turut mengambil maklum mengenai isu penjualan produk tidak berdaftar yang berkemungkinan tidak mengikut spesifikasi pendaftaran yang sah.

"Kita akan menjalankan siasatan lebih terperinci bersama KKM untuk mengenal pasti sama ada terdapat kandungan bahan terlarang dalam produk-produk yang dirampas ini," katanya.

Difahamkan, operasi tersebut turut melibatkan rampasan cecair vape yang dikesan tidak berdaftar dengan KKM yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 3 Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Di bawah Seksyen 3 akta berkenaan, mana-mana syarikat yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000, manakala bagi kesalahan individu, denda yang boleh dikenakan adalah tidak melebihi RM20,000.

Setakat ini, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai identiti pemilik premis terbabit serta jumlah keseluruhan nilai rampasan dalam operasi berkenaan.

Hakemal berkata satu sidang media akan diadakan Khamis ini bagi mendedahkan perincian penuh serta statistik rampasan hasil daripada Ops E-Cig Mega tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan