KUALA SELANGOR, 10 Feb (Bernama) -- Selangor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju tenaga boleh baharu negara dengan pelancaran projek Ladang Solar Skala Besar (LSS 5) terapung di Bestari Jaya, antara yang terbesar di Asia Tenggara, dengan kapasiti 300 megawatt (MWac).
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata projek ladang solar fotovaltaik terapung terbesar negara itu yang bernilai lebih RM1 bilion dianugerahkan kapada Bestari Solar Sdn Bhd (BSSB), konsortium diterajui Edra Power Holdings Sdn Bhd (Edra), Worldwide Holdings Berhad (WHB) dan Rotaka Engineering Services (M) Sdn Bhd selepas memenangi bidaan secara kompetitif.
Beliau berkata projek yang melibatkan keluasan kira-kira 430 hektar itu akan dibangunkan di atas tanah milik anak syarikat kerajaan negeri termasuk Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) serta sebahagian tanah milik kerajaan negeri.
"Tanah ini akan dipajak kepada WHB dan syarikat terlibat bagi tujuan operasi tenaga solar untuk tempoh 21 tahun,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian pecah tanah projek tersebut di Bestari Jaya, hari ini.
Amirudin berkata Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) bagi projek itu ditandatangani pada Mac 2025, dan pembinaannya dijangka siap pada Julai 2027.
Beliau berkata PPA selama 21 tahun itu akan memastikan bekalan tenaga boleh baharu yang stabil kepada grid nasional.
Dalam pada itu beliau berkata, lebih 80 peratus daripada projek tersebut menggunakan teknologi solar terapung manakala selebihnya di darat, sekali gus membolehkan Selangor memanfaatkan takungan air sedia ada tanpa menjejaskan penggunaan tanah secara besar-besaran.
“Takungan air yang digunakan adalah kolam simpanan air mentah berkaitan projek seperti konsep Hybrid Off River Augmentation Storage (HORAS) yang tidak digunakan secara aktif kecuali ketika musim kemarau,” katanya.
Amirudin memberi jaminan projek itu menggunakan teknologi terkini yang tidak akan menjejaskan kualiti air, malah mengambil kira aspek pengoksigenan dan kawalan pertumbuhan alga.
Beliau berkata selain penjanaan tenaga, projek itu dijangka turut membawa manfaat ekonomi lebih luas kepada Selangor dengan merangsang pelaburan, menyokong pembangunan aktiviti perindustrian dan komersial, serta menggalakkan pembangunan semula tanah bekas perlombongan.
“Pembangunan ini juga menawarkan penyertaan syarikat tempatan dan memperkukuh keupayaan domestik merentasi rantaian nilai tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial