KUANTAN, 10 Feb (Bernama) -- Pahang merekodkan kehadiran 15.2 juta pelancong dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM13.72 bilion pada tahun lepas sekali gus melepasi sasaran ditetapkan, iaitu 14 juta pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Leong Yu Man berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 11.21 peratus berbanding 13.73 juta pelancong pada 2024.
“Jumlah ini hanya mengambil kira pelancong yang bermalam sekurang-kurangnya satu malam dan tidak termasuk pelancong harian. Sekiranya jumlah pelancongan harian diambil kira, angka ini akan jauh lebih besar.
“Bagi kadar penginapan di hotel, Pahang mencatatkan peratus penginapan tertinggi untuk tahun ketiga berturut-turut iaitu 75.6 peratus berbanding negeri lain," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Leong berkata antara fokus pada 2026 ialah pengindahan dan naik taraf destinasi pelancongan utama, penambahbaikan kemudahan sokongan pelancongan, pengukuhan promosi antarabangsa serta sokongan berterusan kepada pengusaha kecil, penggiat budaya dan operator pelancongan komuniti.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri berhasrat menjadikan 2026 sebagai Tahun Pemerkasaan Komuniti Pelancongan Pahang bagi memastikan limpahan pelancong diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pendapatan dan pengukuhan identiti tempatan.
Dalam aspek penganjuran acara, beliau berkata lebih 50 aktiviti disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan Pahang 2026 termasuk yang bertaraf antarabangsa seperti Cameron Ultra Trail (CULTRA), Pahang International Green Eyes Squid Hunting, Pesta Pelita Raya Pahang, World Music Festival 2026 – ‘Soul of Pahang’ serta Royal Pahang International Billfish International Challenge 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial