AM

Istana Pahang Nafi Kewujudan Media Sosial Peribadi Milik Al-Sultan Abdullah

29/03/2026 06:47 PM

KUANTAN, 29 Mac (Bernama) -- Istana Pahang menafikan kewujudan sebarang media sosial peribadi milik Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

Kesultanan Pahang menerusi hantaran di Facebook memaklumkan baginda tidak mempunyai sebarang akaun media sosial yang dilihat banyak dihasilkan oleh pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama dan gambar Al-Sultan Abdullah untuk memperdaya orang ramai.

“Begitu juga dengan akaun palsu terutamanya Facebook dan TikTok menggunakan nama dan gambar Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah,” menurut hantaran itu. 

Istana Pahang menegaskan bahawa semua akaun berkenaan adalah palsu dan orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai sebarang pautan atau maklumat yang terkandung dalam media sosial palsu. 

Orang ramai juga diminta melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya menerima pelawaan atau kandungan mencurigakan.

Menurut hantaran itu, semua aktiviti atau titah secara langsung hanya disiarkan menerusi platform media sosial Kesultanan Pahang, dan di Facebook hanya satu akaun sah Kesultanan Pahang dengan kira-kira 772,000 pengikut ketika ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan