EKONOMI

GSC, Manulife Malaysia Bekerjasama Lancar Kempen Galak Kesedaran Kewangan, Kesihatan

10/02/2026 07:52 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Golden Screen Cinemas (GSC) meluaskan peranannya melangkaui perniagaan pawagam dengan menjalin kerjasama strategik bersama Manulife Malaysia menerusi kempen ‘Life, Directed by You!’.

Ketua pegawai eksekutif GSC Koh Mei Lee kempen itu diadakan bertujuan untuk menjadikan perbincangan mengenai perancangan kewangan dan perlindungan kesihatan lebih relevan dan mudah difahami rakyat Malaysia.

Kempen selama 18 bulan yang berlangsung sehingga 15 April tahun depan itu akan menampilkan iklan pendek sebelum tayangan filem di pawagam GSC di seluruh negara, interaksi di media sosial, serta peraduan yang menawarkan tiket wayang untuk menggalakkan kesedaran lebih tinggi tentang persediaan dan perlindungan kewangan.

Koh berkata kerjasama tersebut mencerminkan komitmen bersama kedua-dua organisasi itu untuk membawakan perbualan penting dalam kehidupan ke dalam gaya hidup seharian orang ramai.

“Pawagam kami semakin menjadi hab gaya hidup untuk tempat orang ramai berehat, saling berhubung dan meluangkan masa yang bermakna bersama-sama, bukan hanya sekadar untuk menonton filem. Jadi kami mahu membawakan perbualan penting ini secara santai ke tempat orang ramai meluangkan masa mereka,” katanya pada pelancaran kempen itu, di sini, hari ini.

Koh berkata kempen pemasaran di panggung wayang, titik sentuhan digital dan penglibatan kreatif adalah bertujuan untuk berinteraksi dengan lebih baik bersama penonton di samping membantu mereka untuk membuat keputusan penting dalam hidup yang berdasarkan maklumat, dengan penuh yakin.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif Manulife Malaysia, Vibha Coburn, berkata kerjasama itu sejajar dengan matlamat syarikat untuk membangun masyarakat yang yakin dalam membuat keputusan kewangan bagi persediaan pada masa depan.  

"Filem memberi inspirasi kepada refleksi dan pemahaman, menunjukkan akibat daripada keputusan yang diambil dan menggalakkan orang ramai untuk memikirkan tentang masa depan mereka. Inilah intipati kempen kami - anda sendirilah yang menentukan hala tuju hidup anda,” katanya.  

Coburn berkata keupayaan kewangan membolehkan individu merebut peluang, mengurus ketidakpastian dan merancang lebih awal dengan keyakinan yang lebih tinggi.

Memetik Tinjauan Asia Care Manulife, beliau berkata rakyat Malaysia semakin memberi penekanan bukan sahaja kepada umur yang panjang tetapi juga kesejahteraan secara keseluruhan, termasuk kesihatan fizikal, mental dan kewangan.

Beliau berkata kerjasama itu bertujuan untuk memantapkan pendidikan kewangan dan menyelitkan perbualan penting dalam kehidupan secara santai ke dalam aktiviti seharian orang ramai dengan lebih berkesan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan