AM

Suhaimi Sulaiman Sahkan Pengunduran Sebagai KP Jabatan Penyiaran Hujung Bulan Ini

10/02/2026 08:13 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia Datuk Suhaimi Sulaiman mengesahkan akan meninggalkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkuat kuasa akhir bulan ini, selepas tiga tahun menerajuinya sejak Januari 2023.

Mengesahkan perkara itu kepada Bernama, Suhaimi berkata pengunduran beliau daripada jabatan itu adalah keputusan peribadi selepas membuat pertimbangan terperinci terhadap hala tuju peribadi, selain mahu melangkah ke fasa baharu dalam hidup.

“Saya kini berusia 64 tahun. Sebelum ini saya sudah bersara, kemudian dipelawa untuk membantu RTM. Pada saya, perkara ini (melepaskan jawatan) sesuatu yang biasa dalam pekerjaan. 

“Ini pengunduran awal, kontrak saya akan habis pada tahun depan. Pejabat Menteri Komunikasi juga sudah maklum dengan pengunduran saya ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Suhaimi berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan penyiaran serta pernah berkhidmat di Kumpulan Media Sarawak, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Astro Awani dan Media Prima.

Sebelum ini timbul khabar angin bahawa Suhaimi sudah menyerahkan surat pelepasan jawatan dan bakal menamatkan perkhidmatan pada 22 Feb ini.

Suhaimi memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada City University, Bellevue, Washington, Amerika Syarikat (AS) dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan daripada Portland State University, Portland, Oregon, AS.

Mengulas berhubung pencapaian sepanjang meneraju jabatan itu, beliau menyifatkan pengalamannya bersama warga RTM itu adalah sesuatu yang sangat bermakna, malah ia adalah organisasi yang memiliki kekuatan tersendiri terutama dari segi bakat dan kepakaran.

Suhaimi berkata kemajuan dan pencapaian yang dicipta di RTM adalah hasil kerjasama warga kerja yang penuh kreatif, bersemangat dan berbakat besar.

“Pengalaman saya di RTM sangat indah. Banyak kemajuan dicapai. Saya sangat bangga dengan pasukan.

“Mereka sangat bijak dan bekerja keras. Kita tahu bagaimana cabaran ketika ini tetapi kita terus bangkit supaya tetap relevan untuk tahun mendatang,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan