JENAYAH & MAHKAMAH

Malaysia Perbaiki Kedudukan Ke-54 Dalam Indeks Persepsi Rasuah 2025

10/02/2026 08:10 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bertambah baik, daripada tempat ke-57 pada 2024 ke tempat ke-54 tahun lepas, yang mencerminkan kemajuan berterusan dalam tadbir urus dan usaha membanteras rasuah.

Berdasarkan CPI 2025 yang dikeluarkan Transparency International (TI) hari ini, Malaysia berada di kedudukan ketiga dalam kalangan negara ASEAN, selepas Singapura dan Brunei, mengekalkan kedudukan relatifnya di Asia Tenggara sambil mengatasi beberapa negara serantau.

Skor Malaysia tahun lepas juga meningkat kepada 52 mata, berbanding 50 dalam penilaian 2024, menunjukkan trend menaik yang sederhana tetapi menggalakkan.

TI, sebuah gabungan global menentang rasuah memaklumkan CPI 2025 adalah berdasarkan 13 tinjauan dan penilaian pakar yang mengukur tahap persepsi rasuah dalam sektor awam di 182 negara pada skala daripada sifar (dianggap paling rasuah) ke 100 (paling bersih).

Secara global, Denmark, Finland dan Singapura menerajui indeks tersebut yang mencerminkan tadbir urus kukuh dan integriti institusi yang konsisten tinggi manakala Sudan Selatan, Somalia dan Venezuela kekal antara negara di kedudukan tercorot, menunjukkan hubungan rapat antara rasuah, konflik dan kelemahan institusi.

Sementara itu, TI Malaysia (TI-M) dalam kenyataan memaklumkan peningkatan kedudukan negara dalam indeks itu menandakan usaha berterusan membanteras rasuah dengan tindakan penguatkuasaan dan komitmen tadbir urus diiktiraf di peringkat antarabangsa, namun menekankan yang perkembangan itu perlu dilihat sebagai langkah ke hadapan, berbanding satu titik perubahan.

“Cabaran kini adalah untuk mengekalkan dan mempercepat pembaharuan dari tahun ke tahun sekiranya Malaysia mahu mencapai matlamat yang dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu berada dalam di kelompok 25 terbaik dalam CPI menjelang 2033,” katanya.

Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan skor itu ialah penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, pindaan kepada Akta Audit 1957 untuk memperluas pengawasan Ketua Audit Negara ke atas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta pengenalan ketelusan pemunyaan benefisial melalui Akta Syarikat (Pindaan) 2024.

Faktor lain yang turut disenaraikan TI-M termasuk tindakan penguatkuasaan berterusan terhadap pegawai kanan kerajaan dan elit politik serta penggubalan undang-undang baharu seperti Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan dan pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2025.

Menurut kenyataan itu, sejak Kerajaan MADANI menerajui pemerintahan, beberapa komitmen tadbir urus telah diperkenalkan termasuk Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028, Pasukan Petugas CPI yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara dan reformasi institusi seperti penggubalan Akta Kebebasan Maklumat (FOI), penubuhan Ombudsman Malaysia, reformasi perlindungan pemberi maklumat serta rancangan untuk memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

“Walaupun mengalu-alukan perkembangan ini, TI-M menekankan masih wujud kekurangan, terutamanya dari segi kepantasan dan sejauh mana usaha reformasi institusi dan perundangan,” menurut kenyataan itu.

TI-M memaklumkan terdapat kebimbangan utama termasuk risiko rasuah dalam perolehan awam, had dalam perlindungan pemberi maklumat, ketiadaan peraturan komprehensif mengenai pembiayaan politik serta kemungkinan kelemahan dalam rangka cadangan Perjanjian Pendakwaan Tertangguh (DPA).

Organisasi itu juga menyuarakan kebimbangan mengenai maklumat awam yang terhad bagi projek infrastruktur dan mega utama, serta keperluan untuk meningkatkan ketelusan dalam perolehan pertahanan.

Menurut TI-M, perkembangan usaha untuk mencapai kedudukan 25 terbaik menjelang 2033 juga masih perlahan dan menekankan bahawa komitmen reformasi mesti disertai dengan tindakan berterusan dan boleh dipercayai, peningkatan awal CPI perlu dilihat sebagai petanda kemajuan, bukan perubahan sistemik dan tanpa pelaksanaan yang berkesan, komitmen dasar akan kehilangan kredibiliti dari semasa ke semasa.

TI-M memaklumkan peningkatan skor CPI Malaysia perlu dilihat sebagai petanda potensi dan bukannya alasan untuk berasa selesa, sambil menekankan bahawa kestabilan politik semasa memberikan peluang untuk melaksanakan reformasi yang bermakna.

“TI Malaysia menyeru kerajaan untuk bertindak tegas dan sistematik kerana harapan rakyat adalah tinggi dan natijah tanpa tindakan akan terzahir dalam skor CPI masa depan serta kepercayaan awam,” menurut kenyataan itu.

TI Malaysia mengulangi komitmen untuk berinteraksi secara konstruktif dengan pihak berkepentingan bagi memastikan momentum ini tidak hilang dan perjuangan membanteras rasuah membawa perubahan sebenar dan berkekalan untuk rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan