KUCHING, 9 Feb (Bernama) -- Pegawai pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah ditempatkan di Hospital Saratok bagi memastikan perlindungan serta kebajikan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun disyaki menjadi mangsa penderaan ibu angkatnya di Saratok, baru-baru ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata kaunselor juga turut berada bersama kanak-kanak terbabit bagi memberi sokongan emosi.
“Kes ini masih dalam siasatan polis dan mangsa telah dihantar ke Hospital Saratok untuk rawatan dan pemeriksaan doktor. Kita juga akan bincangkan mengenai penempatan sementara buat kanak-kanak ini.
“Buat masa ini juga tiada sebarang lawatan daripada mana-mana pihak dibenarkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Dayung Young Heritage Leaders Programme (Dayung Warisan) di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mathew Manggie dilaporkan berkata polis menahan seorang wanita berusia 47 tahun selepas disyaki menganiaya anak angkatnya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dalam kejadian di Taman Kim Hin, Saratok pada 5 Feb.
Mathew berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 selepas satu laporan polis dibuat pada 7 Feb oleh seorang guru yang bimbang mengenai keselamatan mangsa.
Sementara itu, Nancy berkata kementeriannya akan terus menjalankan program advokasi berkaitan kes dera yang melibatkan golongan dewasa serta kanak-kanak.
“Program ini untuk memberi kesedaran, kita juga akan maklumkan mengenai Talian Kasih 15999 untuk melindungi diri mereka. Melalui talian ini kanak-kanak juga boleh bertindak sendiri untuk hubungi bantuan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial