KOTA BHARU, 11 Feb (Bernama) -- Polis Kelantan menjangkakan hampir sejuta kenderaan bakal memasuki negeri ini sempena cuti sambutan perayaan Tahun Baharu Cina pada minggu hadapan.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata peningkatan itu juga berikutan perantau pulang ke kampung untuk menyambut Ramadan bersama keluarga.
"Justeru, kita akan melaksanakan Ops Selamat 25/26 sempena Perayaan Tahun Baharu Cina bermula 15 hingga 20 Feb depan.
"Kita akan pastikan kawasan 'hotspot' terutama di Gua Musang dan Kuala Krai akan sentiasa dipantau, selain kawasan pembinaan yang menyebabkan kesesakan aliran trafik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohd Yusoff berkata pihaknya tegas dalam membanteras jenayah rentas sempadan dan mana-mana pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand yang dirobohkan, tidak sesekali dibenarkan untuk dibina semula.
"Sehingga kini 62 pangkalan haram berstruktur telah dirobohkan dan dijangka baki selebihnya di Tumpat akan diselesaikan dalam tempoh seminggu," katanya.
Untuk rekod, terdapat 223 pangkalan haram yang dikenal pasti meliputi 216 di kawasan tanah kerajaan dan tujuh lagi di tanah persendirian.
Daripada 216 di tanah kerajaan itu, 120 ialah pangkalan tidak berstruktur, manakala 96 lagi berstruktur.
Mohd Yusoff berkata sempadan Malaysia-Thailand bukan sekadar garis di peta tetapi laluan berisiko tinggi kepada pelbagai jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan dadah, senjata, manusia dan barangan terlarang.
"Perobohan pangkalan haram ini bukan kerja bermusim tetapi perang senyap dalam mempertahankan kedaulatan negara. Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menjadikan Kelantan sebagai laluan jenayah," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial