DUNIA

Protes Terhadap Lawatan Presiden Israel Ke Australia Berterusan, Masuk Hari Keempat

13/02/2026 12:08 AM

ISTANBUL, 12 Feb (Bernama-Anadolu) -- Protes besar-besaran di seluruh Australia berterusan buat hari keempat pada Khamis bagi membantah lawatan Presiden Israel Isaac Herzog, dengan beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul di Melbourne susulan ketibaannya di bandar itu sebelum mengakhiri lawatannya, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan.

Di Melbourne, protes bermula di luar Stesen Flinders Street, menghimpunkan orang ramai yang membawa sepanduk menyatakan bahawa Herzog tidak dialu-alukan di bandar berkenaan, lapor ABC News.

Beberapa penunjuk perasaan turut berkongsi kisah peribadi mengenai kehilangan orang tersayang. Seorang wanita berkata beliau menyertai demonstrasi itu untuk menuntut keadilan bagi ahli keluarganya yang terkorban dalam konflik, manakala seorang lagi mahu menghantar mesej kepada kerajaan untuk membantah lawatan Herzog.

Perhimpunan itu menyusul selepas protes awal di luar dua lokasi acara rasmi Herzog, meskipun butiran jadual perjalanannya di Melbourne tidak didedahkan kepada umum sebelum ini.

Lawatan Herzog telah mencetuskan demonstrasi besar di beberapa bandar utama Australia, termasuk Sydney, di mana protes sebelum ini mengakibatkan pertempuran ganas antara penunjuk perasaan dan polis.

Pada Rabu, ratusan penunjuk perasaan turut berkumpul di luar Bangunan Parlimen bagi membantah lawatan beliau.

Protes berterusan di seluruh negara sejak Herzog tiba untuk lawatan empat hari pada Isnin, dengan ketegangan semakin memuncak selepas pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan pada awal minggu ini. Ribuan orang turun ke jalanan pada Isnin, membawa kepada konfrontasi dengan pihak polis di beberapa lokasi.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan