AM

Kampung Dodol Dipilih Kampung Aspirasi Bebas Dadah

14/02/2026 02:47 PM

GEORGE TOWN, 14 Feb (Bernama) -- Kampung Dodol dipilih sebagai Kampung Aspirasi Bebas Dadah, sekali gus dijadikan kampung contoh dalam usaha memperkukuh pencegahan penyalahgunaan dadah pada peringkat komuniti.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang Roswati Apin berkata Kampung Aspirasi Bebas Dadah ialah inisiatif berfokus, yang diperkenalkan oleh AADK menerusi program Jelajah Aspirasi Cergas Sihat, bertujuan menyuntik kesedaran serta pendidikan kepada masyarakat mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang lain. 

Beliau berkata pemilihan Kampung Dodol dibuat berikutan kadar pematuhan klien di bawah pengawasan AADK yang tinggi, selain penglibatan aktif masyarakat setempat yang menunjukkan komitmen kukuh dalam menyokong program rawatan dan pemulihan.

“Selain itu, kampung ini berada pada tahap risiko sederhana, bermakna jika terdapat kes baharu sekali pun, jumlahnya masih terkawal. Ini sekali gus membuktikan bahawa peranan masyarakat amat membantu dalam menyumbang kepada keberkesanan usaha yang dilaksanakan bagi memastikan kawasan ini bebas daripada penyalahgunaan dadah.

“Jadi, kita berharap menerusi pelaksanaan inisiatif ini, Kampung Dodol dapat menjadi contoh kepada kampung dan kawasan lain untuk melaksanakan pendekatan sama dalam usaha menangani isu penyalahgunaan dadah pada peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kembara Antidadah ‘Jelajah Aspirasi Cergas Sihat’ bertempat di Masjid Jamek Hashim Yahaya Kampung Dodol, di sini hari ini, yang dirasmikan Pegawai Daerah Timur Laut Ismasuhaimi Shariff, dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelutong R S N Rayer.

Roswati berkata selain Kampung Dodol di Daerah Timur Laut, pelaksanaan Kampung Aspirasi Bebas Dadah bagi tahun ini turut memfokuskan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dengan pemilihan Taman Guar Perahu, sebelum diperluas ke beberapa kawasan lain yang dikenal pasti pada tahun hadapan. 

Sementara itu, beliau berkata program hari ini menerima sambutan luar jangka apabila kehadiran mencecah kira-kira 500 orang, melebihi sasaran awal 300 orang, sekali gus menunjukkan tahap kesedaran masyarakat yang semakin meningkat. 

Kerjasama menyeluruh semua lapisan masyarakat amat penting bagi menyokong usaha kerajaan dalam memastikan kesejahteraan komuniti terus terpelihara, di samping memberikan pendidikan dan pencegahan awal, khususnya kepada generasi muda.

Terdahulu, pelbagai pengisian dijalankan bersempena program itu, antaranya gotong-royong membersihkan tanah perkuburan, fun walk, gunting rambut percuma, pertandingan gubahan bubur lambuk, pertandingan azan serta pertandingan mewarna, yang disertai pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan