AM

Reformasi Institusi, Komunikasi Berimpak Tinggi Pacu Lonjakkan CPI 2025 - KSN

14/02/2026 03:37 PM

PUTRAJAYA, 14 Feb (Bernama) -- Kejayaan Malaysia melonjak dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 bukan sekadar hasil pelaksanaan dasar dan reformasi institusi malah turut dipacu oleh pendekatan komunikasi strategik yang konsisten dan berimpak tinggi.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata usaha memperkukuh tatakelola dan integriti perlu disokong dengan hebahan yang proaktif, bersasar serta berterusan bagi memastikan mesej reformasi kerajaan difahami dengan jelas oleh pelabur, komuniti antarabangsa dan masyarakat umum.

Beliau berkata Malaysia memperbaiki kedudukan dalam CPI 2025 apabila melonjak ke tangga ke-54 daripada 182 negara dengan skor 52/100, berbanding ke-57 daripada 180 negara dengan skor 50/100 pada tahun sebelumnya.

"Peningkatan itu mencerminkan keseriusan dan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh tatakelola, integriti serta agenda pembanterasan rasuah di peringkat nasional.

"Komunikasi strategik memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk persepsi baik," katanya dalam kenyataan yang disiarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.

Shamsul Azri berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas CPI semalam.

Beliau berkata kepelbagaian platform media khususnya media sosial yang kini menjadi medium utama berperanan besar dalam mempengaruhi pandangan awam.

Beliau berkata antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan tersebut ialah peranan aktif Pasukan Petugas Khas CPI dalam menyelaras usaha meningkatkan persepsi antarabangsa terhadap Malaysia menerusi pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

Selain itu, pindaan Akta Audit 1957 yang memperluas kuasa pengauditan Ketua Audit Negara ke atas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta pelaksanaan usaha reformasi institusi dan perundangan.

"Reformasi berkenaan merangkumi penggubalan Akta Kebebasan Maklumat, usaha ke arah penubuhan Ombudsman Malaysia, pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat serta komitmen untuk melaksanakan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya," katanya.

Mesyuarat itu turut meneliti pembentangan oleh Presiden Transparency International Malaysia Raymon Ram berhubung perincian prestasi CPI Malaysia 2025 serta analisis dapatan survei dan hala tuju pelaksanaan setiap Kumpulan Fokus bagi 2026.

Dalam mesyuarat itu, Shamsul Azri turut mengucapkan tahniah kepada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang merekodkan peningkatan dalam beberapa kajian utama CPI 2025.

MPC mencatatkan peningkatan menerusi Buku Tahunan Daya Saing Dunia IMD dan Forum Ekonomi Dunia, manakala MITI menunjukkan peningkatan melalui International Country Risk Guide terbitan PRS Group.

Bagaimanapun, dua kajian menunjukkan penurunan iaitu Political and Economic Risk Consultancy (PERC) serta Indeks Kedaulatan Undang-Undang menerusi penilaian Projek Keadilan Dunia (WJP) yang menilai persepsi berkaitan rasuah dan salah guna kuasa dalam pentadbiran awam.

Shamsul Azri turut memuji usaha beberapa agensi dalam memperkukuh pengurusan komunikasi masing-masing dan menyifatkan media SPRM sebagai antara yang berperanan baik dalam mengeluarkan kenyataan serta memberikan tindak balas yang strategik, pantas dan berimpak tinggi.

"Peningkatan skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI bukan sekadar angka tetapi mencerminkan tahap keyakinan komuniti global terhadap sistem tatakelola negara kita," katanya.

Turut hadir dalam mesyuarat ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM Datuk Idris Zaharudin, Ketua Setiausaha MITI Datuk Hairil Yahri Yaacob dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan