AM

Undang-undang Khusus Tangani Judi Dalam Talian Sedang Digubal - Fadillah

15/02/2026 05:13 PM

KUCHING, 15 Feb (Bernama) -- Kerajaan sedang menggubal rang undang-undang (RUU) berkaitan judi haram termasuk perjudian dalam talian yang memerlukan pendekatan lebih tegas serta menyeluruh.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata RUU itu diharap dapat dibentangkan selewat-lewatnya pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Beliau berkata masalah judi haram termasuk perjudian dalam talian perlu dibendung bagi memastikan kesejahteraan sosial rakyat terutamanya generasi muda tidak terjejas. 

“Sebab itu, kerajaan melihat perkara ini secara serius,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Geran Tahunan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kawasan Parlimen Petra Jaya, di sini hari ini.

Fadillah berkata setakat ini belum ada nama khusus bagi RUU tersebut dan ia masih diteliti sama ada akan digubal sebagai akta baharu atau dimasukkan sebagai pindaan di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953. 

Katanya menerusi penggubalan RUU berkenaan, kerajaan dapat meningkatkan penguatkuasaan berkaitan judi dalam talian, sekali gus memudahkan polis dan pihak berkuasa mengambil tindakan.

Pada November tahun lepas, polis Sarawak memaklumkan usaha menyekat judi dalam talian tertumpu kepada mencari kaedah bagi menghalang akses kepada aktiviti berkenaan, selaras dengan perubahan teknologi yang membolehkan pemain mengakses permainan secara terus melalui telefon bimbit.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah sebelum ini berkata pendekatan baharu diperlukan dan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) menjadi antara tumpuan bagi mengenal pasti kaedah penyekatan sistem yang lebih berkesan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan