POLITIK

Mustapha Sakmud Dilantik Pengerusi PH Sabah Baharu

15/02/2026 08:18 PM

KOTA KINABALU, 15 Feb (Bernama) -- Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah yang baharu.

Mustapha yang mengesahkan pelantikannya berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat pemimpin parti komponen PH negeri itu bagi mengisi jawatan yang kosong setelah Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) keluar daripada gabungan berkenana pada November tahun lepas.

“Setelah berbincang, mesyuarat bersetuju melantik saya sebagai Pengerusi PH Sabah yang baharu bagi mengisi jawatan yang kosong.

“Turut dilantik ialah Abdul Razak Jamil sebagai Setiausaha Agung dan Zaidi Jatil daripada PKR sebagai Ketua Pemuda. Datuk Phoong Jin Zhe kekal sebagai Timbalan Pengerusi, Datuk Chan Fong Hin sebagai Bendahari, dan Datuk Jannie Lasimbang Ketua Wanita PH Sabah,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di sini hari ini.

Sebelum ini, Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick memegang Pengerusi PH Sabah, namun jawatan itu kosong selepas parti berkenaan memutuskan keluar daripada gabungan tersebut, yang turut dianggotai DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) berkata mesyuarat itu turut membincangkan hala tuju PH Sabah, termasuk memberi tumpuan kepada isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita akan membawa isu penting berkaitan MA63, khususnya tuntutan 40 peratus hasil Sabah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan