JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Wanita Tangkapan Terbaru Kes Bunuh Di Indah Permai

15/02/2026 10:21 PM

KOTA KINABALU, 15 Feb (Bernama) -- Polis menahan dua wanita tempatan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang wanita yang mayatnya dikerat dan dibuang di beberapa lokasi di kawasan tempat pembuangan sampah di Indah Permai, Manggatal pada Khamis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata wanita berkenaan masing-masing berusia 29 dan 21 tahun ditahan di kawasan Sepanggar dan Inanam, di sini hari ini.

Katanya ini menjadikan keseluruhan tangkapan sebanyak empat orang, bermula dengan lelaki tempatan berusia 71 tahun yang ditahan di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II pada hari kejadian sebelum disusuli penahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 19 tahun di Sepanggar.

"Kedua-dua wanita berkenaan merupakan anak kepada suspek utama dan ditahan bagi membantu siasatan berhubung peranan serta pengetahuan mereka berkaitan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan antaranya telefon bimbit, pakaian, sepasang sarung tangan, sebilah parang serta sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail.

Pada Khamis lepas, anggota tubuh seorang wanita yang dipercayai dikerat kepada beberapa bahagian ditemukan di tempat pembuangan sampah di Indah Permai kira-kira 7 pagi dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan