AM

Individu Berkemahiran Dalam Sektor Kritikal Digalak Sertai Askar Wataniah

16/02/2026 02:50 PM

PETALING JAYA, 16 Feb (Bernama) -- Individu yang mempunyai kepakaran teknikal dalam sektor kritikal seperti minyak dan gas (O&G), perubatan, geo-spatial dan Teknologi Maklumat (IT) digalakkan untuk menyertai Askar Wataniah sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh sistem pertahanan negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penglibatan golongan profesional seperti itu selari dengan sasaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mencapai nisbah keanggotaan satu anggota simpanan bagi setiap satu anggota tetap menjelang 2033.

Beliau berkata kepakaran khusus dalam bidang strategik tersebut akan bertindak sebagai "kuasa pengganda" kepada angkatan tetap melalui konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).

"Pertahanan negara tidak boleh hanya bergantung kepada anggota tetap. Kita merancang untuk memperluaskan ekosistem pasukan simpanan dengan menubuhkan rejimen pakar dalam sektor kritikal termasuk kesihatan, geo-spatial, petroleum dan gas, serta sektor media dan penyiaran bagi membantu menyokong usaha pertahanan serta menangani penyebaran maklumat tidak tepat," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Skuadron Rapid Rail 50 Regimen Pakar Keretapi, Regimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Askar Wataniah di Menara Prasarana, di sini, hari ini.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman, Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Azhan Md Othman, Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Leftenan Kolonel Amir Hamdan.

Sementara itu Mohamed Khaled menyifatkan pelancaran Skuadron Rapid Rail 50 hari ini sebagai model terbaik dalam mengintegrasikan kepakaran industri awam ke dalam struktur logistik tentera, terutamanya ketika mendepani situasi luar jangka.

Beliau berkata keselamatan dan kebolehoperasian perkhidmatan rel yang merupakan infrastruktur pengangkutan awam yang strategik perlu sentiasa berada di tahap optimum bukan sahaja pada waktu aman malah ketika berhadapan situasi krisis atau ancaman keselamatan.

Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Pakar Keretapi RAJD (AW) berperanan sebagai pasukan pakar yang menyokong Tentera Darat dalam aspek perlindungan, sokongan teknikal serta pemulihan infrastruktur rel bandar semasa kecemasan, bencana alam, sabotaj atau gangguan operasi berskala besar. 

Bagi memastikan kelancaran inisiatif itu, katanya, majikan dalam sektor berkaitan perlu memberikan sokongan padu dengan membenarkan pelepasan latihan bagi pekerja yang memilih untuk berkhidmat sebagai anggota simpanan demi kedaulatan negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan